IPOH : Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming hari ini memfailkan saman fitnah terhadap penulis blog Ahmad Sofian Yahya yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai exco semasa pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak.
Nga melalui peguamnya Augustine Anthony menuntut ganti rugi RM10 juta beserta tuntutan-tuntutan berkaitan dan juga injuksi mahkamah.
Dalam samannya yang difailkan di mahkamah tinggi Ipoh, Nga juga mengatakan bahawa blogger ( gambar ) itu menggunakan beberapa perkataan seperti "penyamun besar" yang menfitnah serta menjatuhkan nama baik beliau.
"Saya mempunyai sebab untuk percaya bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh blogger tersebut adalah fitnah jahat. Ini kerana blogger tersebut juga ada mengakui bahawa dia ada pergi ke Pejabat Menteri Besar, Datuk Zambri sebelum mebuat laporan kononnya untuk mengambil tiket persembahan.
"Saya tidak faham sejak bila dalam sejarah Perak MB menjadi ejen wayang dan ternyata kehadiran blogger itu bukan atas urusan rasmi," katanya.
Selain Augustine, Nga diwakili peguam Leong Cheok Keng dan Nga Hock Cheh.
Nga menuduh Ahmad Sofian memfitnahnya melalui artikel di dalam blog "sekupangdua".
Tuduhan Ahmad Sofian berkenaan kontrak bekalan pakaian Majlis Bandaraya Ipoh yang didakwa diberikan kepada isteri Nga, semasa Nga menjadi exco kerajaan negeri.-tvs