Aidila Razak & Salhan K Ahmad malaysiakini
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jarang bercerita mengenai anak lelaki beliau, Ehsan yang kini menuntut di peringkat sarjana di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Ketika diwawancara Malaysiakini semalam, Anwar bagaimanapun terus membuka bicara dengan menceritakan telatah anak lelaki tunggalnya itu yang kini berada di dalam negara untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.
Dengan berjenaka, Anwar mengambil peluang itu untuk menceritakan mengenai Ehsan yang telah dijadikan sebagai modal untuk menyerang beliau berhubung perbicaraan kes Liwat II yang bakal diputuskan minggu depan.
Awal-awal pagi lagi anaknya itu sudah mengajaknya untuk bersenam, kata Anwar yang mengharungi jadual sibuk saban hari sehingga beliau terpaksa pulang ke rumah pada jam dua pagi.
Mengulas mengenai keputusan mahkamah pada Selasa, Anwar turut melihat perkembangan itu memihak kepada Pakatan Rakyat.
Malah ada di kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan yang berpendapat mereka akan meraih sokongan lebih besar sekiranya mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.
Walau apa jua keputusan 9 Januari, Anwar dengan penuh optimis berkata Pakatan akan berjaya mara dengan lebih jauh dalam pilihan raya umum akan datang, malah "cukup untuk mengambil alih Putrajaya."
Negeri Perak, Negeri Sembilan akan tumbang ke tangan Pakatan, kata Anwar yang menambah beliau menghadapi saingan sengit BN untuk menembusi negeri Johor dan Melaka.
Namun, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di negeri tersebut, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah, kata Anwar lagi.
Dalam sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini berikut, Anwar turut mengulas mengenai kedudukan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mungkin menjadi masalah kepada PAS Kelantan berikutan faktor umur dan kesihatan.
Malaysiakini (MK): Negeri manakah yang menjadi satu masalah kepada Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang?
Anwar: Ianya negeri-negeri di Selatan – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Lebih-lebih lagi Melaka dan Johor kerana kita menghadapi banyak masalah untuk menyampaikan (mesej kepada rakyat).
Bukannya orang tidak datang. Di Muar, 4,000 orang hadir, itu satu jumlah yang besar bagi Muar. Tapi ada pengecualian. Kita tidak boleh mendapat tempat berhampiran bandar, di mana orang boleh berhimpun. Seperti di Ledang, ada jumlah yang selesa tapi susah untuk masuk. Kita perlu bekerja lebih keras.
Adakah kita lebih baik berbanding 2008? Sudah tentu. Bukan sahaja PKR, tetapi rangkaian DAP di kawasan bandar di Johor juga lebih baik sekarang. PAS telah memasuki kawasan baru. Jentera PKR selepas (ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua) Jui Meng ambil alih benar-benar meningkat, dari segi sumber dan juga jentera, jauh lebih baik berbanding 2008.
Kemudian kita ada Sabah dan Sarawak. Di Sarawak ada kawasan majoriti Cina dan juga tiga atau empat kawasan kumpulan Dayak. Boleh kita dapat majoriti kerusi? Tidak. Tidak. Secara realistik, kita boleh dapatkan 30 atau 40 peratus daripada kerusi. Sabah itu cerita lain.
MK: Adakah Datuk Seri yakin dapat tawan Melaka dan Johor?
Anwar: Tidak, saya tidak kata begitu. Johor perlukan lebih banyak usaha. Di Melaka, kita akan dapat lebih banyak dan Negeri Semabilan lebih senang. Moodnya baik.
MK: Datuk Seri akan dapat tawan Negeri Sembilan?
Ya.
MK: Adakah Pulau Pinang seteguhnya akan kekal bawah Pakatan?
Ya, kukuh. Bermakna (peluang) kita bertambah di Pulau Pinang. Itu maksud saya.
Fokus utama orang jenis PERKASA-Umno ialah untuk maki dan tuduh (ketua menteri, Lim) Guan Eng. Ia tidak menjadi. Saya sering ke Pulau Pinang. Tidak seperti tempat lain yang saya kunjungi sebagai pemimpin nasional, bila saya ke Pulau Pinang, saya duduk, saya pergi ke masjid. Tiada impak. Guan Eng telah berjaya dari segi itu.
Orang Melayu... tahu dia seorang Cina, dia seorang DAP. Saya tak anjurkan supaya mereka setuju dengan apa saja yang dia kata dan juga dasar DAP, tapi mereka lihat dia sebagai pemimpin yang berkredibiliti.
MK: Bagaimana dengan Kedah, Kelantan?
Anwar: Saya akan ke Kelantan hari ini (semalam, Khamis). Ada beberapa isu dan kerajaan negeri perlu menanganinya sekarang. Ia perlu dijalankan sekarang, Isu air. Isu tanah di beberapa kawasan. Saya akan bercakap dengan Tok Guru Nik Aziz (Menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) untuk nasihat supaya ini dapat diselesaikan segera.
MK: PAS juga telah memerintah terlalu lama di Kelantan. Mungkin rakyat rasa perlu bertukar?
Anwar: Tok Guru Nik Aziz ada cara dia sendiri. Orang kata dia tua, dia dah lama. Tapi dia bersih, tidak tipu kita dalam masyarakat dan sistem politik yang ada ramai sangat penipu yang merompak kekayaan...
Tapi orang kata dia semakin uzur dan dia patut merancang (untuk bersara), dan pasukan yang mewakilinya itu penting.
Saya akan berkongsi dengan dia beberapa pandangan secara tertutup hari ini kerana orang mahu lihat pasukan yang menyokong beliau dipersembahkan dalam pilihan raya umum ini. Ia mesti dilihat sebagai pasukan yang berkredibiliti.