Harakahdaily
PARIT BUNTAR, 2 Dis: Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno pada perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur itu tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara.
“Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.
“Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengannya semasa berucap,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Dalam Perhimpunan Agung Umno, kata beliau hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memihak kepada BN dan MCA.
Tambahnya, dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut.
Sedangkan, soalnya siapakah yang sebenarnya yang menghina dan mengkhianati orang India apabila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selepas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan.
Pada waktu sekarang, kata belia kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum Cina dan India, lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu.
“Itupun saya beranggapan bahawa orang Melayu tidak semudahnya akan menyokong Umno kerana jasa dan pejalanan serta realiti apa yang berlaku di negara kita telah melakarkan bahawa Umnolah pengkhianat sebenar kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.
Melihat perkembangan tersebut, tambah beliau diharapkan semoga Umno cepat berkubur kerana mereka sudah tidak relevan lagi di persada politik tanah air.
“Jika kita boleh gambarkan di TV, sebenarnya rancangan kartun Upin Ipin lebih relevan berbanding Umno yang sudah ketandusan modal untuk berceloteh dengan kata-kata semangat mereka tidak lebih dari bahan yang berunsur mengarut,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.
Katanya, Najib sudah palu gendang PRU13 dan menyatakan ia sudah semakin hampir, justeru ayuh pimpinan dan pendokong pakatan siap"tempur" untuk menyelamatkan negara dari pemimpin Umno yang sedang belakon bagi meraih sokongan rakyat demi kuasa yang sudah berada di hujung usianya.
Tegasnya, Putrajaya sudah pasti dalam genggaman Pakatan Rakyat jika usaha gigih secara berterusan dilakukan bagi menjatukan BN dan disulami dan disertakan bersama doa dan tawakkal kepada Allah SWT.