ARTIKEL SEBELUM

10/12/11

Pas perlukan saya: Nik Aziz

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, keputusan beliau untuk terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah kerana parti itu masih memerlukan khidmatnya untuk menentang Umno.


Menurutnya, beliau tidak akan berganjak dengan keputusan untuk bertanding walaupun mendapat kritikan dari pemimpin Umno, termasuk dari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang mahukannya bersara dari politik.

“Saya tidak hirau apa Umno kata, itu dia punya pasal, itu tuduhan dia, dah orang (Pas) nak kepada saya, nak buat macam mana,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Isnin lalu, Nik Aziz, 80, mengesahkan akan bertanding pada PRU13 walaupun mendapat desakan dari pemimpin Umno Kelantan yang mahukan beliau menyerahkan kerusi kepada pimpinan pelapis.

Susulan itu, Tun Dr Mahathir ketika menghadiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) baru-baru ini menasihatkan Nik Aziz supaya segera bersara daripada arena politik memandangkan sudah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.

Mengulas mengenai kritikan Tun Dr Mahathir tersebut, Nik Aziz berkata, beliau tidak kisah dengan kenyataan bekas Perdana Menteri itu, namun mendakwa bekas pemimpin negara itu merosakkan perjuangan Umno sehingga mengakui gagal mengawal bangsa Melayu.

“Saya lawan dia (Tun Dr Mahathir) dari awal ke akhir, siapa suruh dia berhenti, dia sendiri dah kata tak berjaya pimpin orang Melayu, saya jawab dah kamu bawa perkara songsang, orang Melayu itu Islam, tapi dia tolak Islam,” katanya.

Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas mengenai ura-ura mengatakan anaknya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz disenarai pendek calon yang akan bertanding di PRU13.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya mahu Nik Aziz terus memimpin Kelantan.

“Kita nak Tok Guru yang pimpin, lagi lama dipimpin lagi banyak berpengalaman dan banyak dapat ilmu, Umno tidak hak campur,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud