ARTIKEL SEBELUM

1/12/11

Pakatan dijangka menang lebih besar di Kedah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

SOALAN paling popular menjelang PRU-13 di Kedah ialah apakah PAS mampu pertahankan kerajaan?

Jawapannya ialah, jika pilihan raya diadakan sekarang, kedudukan PAS di Kedah adalah lebih baik dari Kelantan. Jika Kelantan dapat dipertahankan maka Kedah juga begitu. Itu bukan jawapan yang tepat tapi mana ada jawapan yang tepat terhadap persoalan yang belum berlaku.



Kedah berbeza dengan Selangor dan Pulau Pinang dari aspek kekuatan PAS berbanding Umno. PAS tidak kuat berbanding Umno di Pulau Pinang dan Selangor. Jika pilihan raya diadakan antara PAS dan Umno di kedua negeri tersebut maka Umno akan menang. Namun, kerana undi bukan Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat, maka BN tidak dapat diselamatkan.
Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai persamaan dari segi kekuatan asas PAS berbanding Umno. Jika terdapat perbezaan pun (sedikit kelebihan kepada Umno) tetapi ia tidaklah terlalu jurang. Kedah mempunyai kira-kira 24 peratus pengundi bukan Melayu, jadi jika pengundi bukan Melayu memberi sokongan padu kepada PAS maka PAS akan menang.

Sejak beberapa kali pilihan raya undi bukan Melayu, khususnya undi Cina adalah “undi blok.” PRU12 mereka memilih PR (Pakatan Rakyat) dan sehingga kini trend itu belum berakhir, malah dilaporkan bertambah.

Kelantan tidak begitu, mereka mengharap sepenuhnya kekuatan undi Melayu. Sebab itu saya berteori, jika PAS boleh menang di Kelantan maka harapan di Kedah lebih cerah.

Walaupun ada kajian profesional yang dibuat terhadap pola sikap politik rakyat Kedah tetapi ia sukar dijadikan rujukan. Pertama, kerana trend terkini peratus golongan yang tidak membuat keputusan dari awal semakin bertambah.

Mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik.

Kedua, perubahan sikap berlaku sangat pantas mutakhir ini. Ia macam pergerakan indeks bursa saham. Dalam masa sebulan, keputusan berbeza boleh diperolehi. Ketiga, kaji selidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat. Semua masih ingat PRU12 di mana BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbang di lima negeri.

Sewaktu Pak Lah sebagai PM memilih tarikh pembubaran Parlimen, beliau tentu meneliti pelbagai keputusan dan analisis dari kaji selidik yang dijalankan.

Semua kumpulan penyelidik tersebut tentulah profesional.

Mustahil Pak Lah akan membubarkan Parlimen jika kajian yang dibuat menunjukkan BN akan kalah teruk. Maknanya Pak Lah telah membubarkan Parlimen sewaktu pelbagai petunjuk yang sampai kepadanya menunjukkan bahawa BN akan menang besar ataupun setidaktidaknya menang 2/3. Apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebuah badan penyelidikan profesional mendedahkan bahawa perubahan sikap rakyat berlaku dengan ketara 3 hari menjelang hari pembuangan undi. (Peningkatan sokongan untuk PR).

Kaji selidik rambang yang dibuat menunjukkan PAS masih mendahului sokongan rakyat. Tetapi ia tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat kerana sikap pengundi mungkin lebih memihak kepada parti yang didukung sewaktu kaji selidik dibuat. Misalnya orang PAS akan sokong PAS dan orang Umno akan sokong BN. Namun apabila calon dikemukakan, sikap mereka boleh berubah selepas itu.

Hal ini berlaku dengan ketara dalam Umno dan akan terus berlaku dalam PRU13 nanti.

Individu yang tidak terpilih bersama kumpulannya akan melakukan sabotaj terhadap calon yang dipilih. Mereka tidak berniat untuk mengkhianati parti sebenarnya. Apa yang dilakukan ialah mempastikan saingan mereka kalah dan peluang untuk mereka menjadi calon di masa depan masih ada. Jika sekali saingan mereka terpilih jadi YB, maka akan berakar umbilah dia di situ sampai bila-bila.

Kajian dibuat menunjukkan PAS berpotensi menang di Kuah, Air Hangat, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Sungai Tiang, Belantek, Jeneri dan Bayu. PR akan menang di Bukit Pinang, Derga, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan, Alor Mengkudu, Kota Darul Aman, Bakar Bata, Tokai, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Pantai Merdeka, Bakar Arang, Sidam, Kupang, Kuala Ketil, Lunas, Merbau Pulas, Kulim dan Bandar Baharu.

Pola sokongan menunjukkan PR selesa di kerusi yang terdapat pengundi campuran. Maka tidak pelik kalau Pengerusi Umno kedah, Dato’ Ahmad Bashah pun dijangka kalah di Bakar Bata yang mempunyai 30 peratus pengundi bukan Melayu.

Bukit Lada dan Ayer Hitam, PRU12 pun adalah kerusi yang dijangka dimenangi BN. Tapi mereka tewas juga. Percayalah siapa pun yang menjadi calon BN di kedua-dua kerusi tersebut akan menghadapi cabaran dari rakan-rakan separti mereka sendiri. Sebenarnya bagi BN, terdapat dua lagi kerusi yang bakal mengalami nasib yang sama iaitu Kota Siputeh dan Kuala Nerang, yang dimasukkan dalam kelompok BN.

Untuk kali ini, insya-Allah Bukit Lada dan Ayer Hitam kekal di tangan PAS manakala Kuala Nerang dan Kota Siputeh akan dirampas.

Terdapat dua kerusi di mana BN menang dengan sokongan pengundi Siam iaitu Pedu dan Sungai Tiang pada PRU12.

Perkembangan mutakhir menunjukkan pengundi Siam sudah berpaling tadah dari BN. Undi mereka adalah undi kelompok, ia meletakkan BN terus mengalami kesukaran.

Kedua kerusi tersebut juga boleh dimasukkan dalam kelompok PR.

Jika berlaku seperti diandaikan maka PR akan menang besar PRU13 nanti. Itu andaian di atas kertas. Realiti mungkin tidak semudah itu.

Apapun, akhirnya saya sangat percaya bahawa keputusan yang bakal ditentukan oleh Allah SWT adalah keputusan yang muktamad. PAS kalah teruk pada 2004 sewaktu “menjentik kerongkong” dengan slogan PAS Tawan Kedah 2004.

Sebaliknya menang besar pada 2008 sewaktu berusaha untuk menang dengan banyak, sambil mengharap pertolongan Allah SWT.

Untuk PRU13, insya-Allah PAS-PR boleh menang lagi besar jika terus menyerah diri dan mengharap pertolongan Allah SWT sambil bekerja lebih gigih. Jangan angkuh, jangan dabik dada dengan kekuatan kita kononnya yang akan menangkan kita. Kalah atau menang biarlah dengan restu dan redho Allah SWT. Itu dasar akidah dan keimanan kita.

>> Penulis adalah Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud