ARTIKEL SEBELUM

4/12/11

Muhyiddin jahil konsep Negara Berkebajikan

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, jelas bertujuan untuk menyembunyikan kejahilannya sendiri yang sebenarnya tidak tahu perkara itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan lagi oleh Muhyiddin kerana dakwaan beliau itu ternyata tidak berasas.

Menurut beliau, para pemimpin PAS telah pun menunjukkan contoh konsep Negara Berkebajikan sejak PAS berjaya memerintah Kelantan 21 tahun lalu yang kini turut diikuti di negeri-negeri lain yang berada di bawah Pakatan Rakyat.

Katanya, sekiranya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, tidak mungkin mereka bercakap mengenainya dan berkemampuan melaksanakannya seperti yang telah ditunjukkan di Kelantan.

"Dia yang tak reti. Bukan pemimpin-pemimpin PAS yang tak tahu. Kalau pemimpin pemimpin-pemimpin PAS tak tahu macam mana boleh dilaksanakan di Kelantan," katanya ketika ditemui di sini.

Muhyiddin ketika berucap merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Malaysia pada perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, 29 November lalu berkata, pemimpin-pemimpin PAS hanya sekadar tahu menyebut tentang Negara Berkebajikan tetapi sebenarnya tidak tahu tentang konsep sebenar Negara Berkebajikan.

Realiti itu didakwa berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno yang bukan sekadar tahu perkara itu, tetapi telah melaksanakannya sejak memerintah negara berpuluh tahun lalu.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat oleh Muhyiddin kerana ia tidak mungkin berkemampuan mempengaruhi orang ramai, melainkan hanya akan memalukan dirinya sendiri sahaja yang terbukti jahil tentang konsep Negara Berkebajikan yang sebenar.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, katanya, pernah membuat kenyataan seperti itu dan membandingkannya dengan langkah-langkah yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN tentang sekelumit bantuan kebajikan yang diberikan kepada rakyat menerusi agensi-agensi kerajaan.

"Tetapi langkah-langkah yang dibuat oleh Kerajaan BN itu masih jauh dengan konsep Negara Berkebajikan sebenar. Untuk mengetahuinya, Muhyiddin perlu menelitinya dengan mendalam dengan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan," katanya.

Antaranya contoh yang telah ditunjukkan di Kelantan, tambahnya, dengan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan yang kemudiannya turut diikuti di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Langkah Kerajaan PAS Kelantan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan itu pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi kemudian Kerajaan BN sendiri juga turut mengikutinya.

"Selain itu, di Kelantan juga turut dilaksanakan skim takaful, bantuan kepada ibu tunggal dan lain-lain bantuan kepada rakyat, manakala segala urusan kerajaan dengan rakyat pula dipermudahkan," katanya.

Itu, katanya, hanyalah sebahagian sahaja dari langkah yang telah dilaksanakan di Kelantan, manakala sebahagian contoh di Selangor pula dengan sebahagian pemberian bekalan air percuma.

"Di Pulau Pinang pula, diberikan RM100 kepada setiap anak negeri itu yang baru lahir sebagai sebahagian bantuan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada rakyat di negeri itu," jelasnya.

Kerajaan PAS Kelantan, tegasnya, walaupun miskin, tetapi tetap berkemampuan melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan baik, ekoran kefahaman para pemimpin PAS sendiri tentang konsep Negara Berkebajikan.

"Kini, banyak langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Kelantan itu yang pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi telah ditiru satu demi satu oleh Kerajaan BN.

"Jadi siapa sebenarnya yang tak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan? Ternyata bukan para pemimpin PAS yang tak tahu, tetapi Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri yang jahil mengenainya," ujar beliau.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud