Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Peguam Karpal Singh dalam hujah penggulungannya pagi tadi mendakwa ucapan Datuk Seri Najib pada Perhimpunan Agung Umno lalu yang menyerang Datuk Seri Anwar adalah campur tangan berat dalam kes Liwat II.
Tindakan itu juga ujarnya bukan sahaja menghina mahkamah malah boleh mempengaruhi keputusan yang akan dibuat.
Sementara itu, Anwar yang ditemui juga turut menyatakan pendirian sama dan mahu mahkamah mengambil perhatian berhubung perkara itu.
"Melihat kepada perbicaraan sebelum ini kita telah menyediakan segala bukti yang mencukupi dan fakta yang jelas terhadap kes tersebut.
"Tetapi apa yang dilakukan tadi Peguam Karpal Singh telah menyatakan bahawa ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agong Umno yang lalu telah menyerang saya secara terus," kata Anwar ketika mahkamah berehat seketika tengah hari tadi.
"Ini dilihat sebagai menghina perjalanan perbicaraan kes hari ini dan ia dilihat dapat mempengaruhi rakyat serta keputusan yang akan dibuat nanti," katanya yang juga ketua pembangkang.
Selain itu, pada penggulungan pagi tadi, Karpal turut mendesak mahkamah memanggil semula Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina dan penuduh Saiful Bukhari bagi memastikan keputusan perbicaraan dapat dijatuhkan dengan adil.
Menurut Karpal, mereka perlu dipanggil kerana sehingga kini kedua-duanya belum menafikan hubungan di antara mereka berdua.
Hubungan antara Farah dan Saiful menurut Karpal, membolehkan Saiful mempunyai akses kepada kertas pendakwaan.
Dalam pada itu, perbicaraan liwat II yang bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar penggulungan hujah kedua-dua pihak.
Hujahan yang sepatutnya dijadualkan pada 23 hingga 24 November lalu berlangsung hari ini di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Turut hadir mendegar penghujahan hari ini adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. Tiba lebih awal adalah Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya, Naib Presiden N Surendran, dan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.