ARTIKEL SEBELUM

7/12/11

Lelaki rogol isteri ahli perniagaan diburu

Muhammad Johari George Abdullah
Muhammad Johari George Abdullah


KUANTAN: Seorang lelaki diburu selepas satu laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan yang mendakwa isterinya dirogol lelaki terbabit, di sebuah hotel di Jalan Air Putih di sini, pada 17 Oktober lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Muhammad Johari George Abdullah, 35, dengan alamat terakhirnya di No 3 Lorong 8, Taman Pine, Jerantut dikehendaki polis bagi membantu siasatan yang dibuat ahli perniagaan berusia 27 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, kelmarin.

Difahamkan, ahli perniagaan berkenaan dan isterinya yang berusia 24 tahun mengenali suspek pada pertengahan tahun ini ketika lelaki terbabit bermalam di inap desa milik pasangan berkenaan.
Ketika ahli perniagaan itu berada di luar kawasan atas urusan kerja, suspek dipercayai mengambil kesempatan menjerat mangsa untuk berbincang kerjasama perniagaan sebelum membawa wanita terbabit ke hotel berkenaan pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 9 malam.

Mangsa juga mendakwa seolah-olah dipukau suspek dan hanya menuruti semua kemahuannya sebelum menyedari sudah dinodai.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian menimpanya kepada suaminya namun enggan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada mulanya.

Namun, ahli perniagaan berkenaan akhirnya mengambil keputusan membuat laporan di IPD di sini kira-kira jam 12.20 tengah malam kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod jenayah lampau.

“Lelaki ini diburu polis atas pelbagai kesalahan antaranya tiga membabitkan dadah dan jenayah lain termasuk satu kes rogol.

“Berikutan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terse-rempak dengan lelaki terbabit supaya segera menghubungi polis atau datang ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud