Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
KULIM - Haruan makan anak. Begitulah yang dapat digambarkan perlakuan jijik seorang bapa yang sanggup menjadikan anaknya tempat pelepas nafsu.
Sikap terlalu memanjakan anak perempuannya itu yang berusia 14 tahun terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan bapanya yang sering memaksa melakukan hubungan seks.
Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di sebuah taman perumahan di sini terpaksa menyembunyikan perbuatan sumbang bapanya itu kerana takut dan malu sekiranya diketahui oleh orang lain.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan laporan dibuat remaja terbabit.
Menurutnya, dalam laporan dibuat, mangsa memaklumkan perbuatan terkutuk berkenaan sudah berlanjutan selama dua tahun iaitu sejak mangsa berusia 12 tahun lagi.
“Kejadian terakhir berlaku di bilik bapa mangsa beberapa hari lalu.
“Mangsa diminta tidak memaklumkan perbuatan itu kepada ibunya kerana ia akan menjejaskan hubungan mereka suami isteri,” katanya.
Bagaimanapun, isteri suspek curiga dengan sikap suaminya yang terlalu memanjakan mangsa sedangkan pasangan itu memiliki anak perempuan lain.
“Isteri suspek berasa pelik dan curiga kerana apa sahaja yang dilakukan oleh mangsa, tidak akan ditegur suaminya walaupun perbuatan itu salah.
“Berikutan itu, dia tergerak hati menyoal anaknya jika ada perkara yang tidak baik dilakukan suaminya itu," katanya.
Ghuzlan berkata, curiga si isteri terjawab apabila anaknya membongkar perbuatan terkutuk suaminya.
Dia kemudiannya membawa mangsa membuat pemeriksaan di Hospital Kulim.
Katanya, perlakuan seks yang melibatkan remaja bawah umur, diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakan perbuatan itu.
“Remaja sering menjadi mangsa perbuatan terkutuk ini, lebih menyedihkan ia dilakukan oleh ahli keluarga mereka sendiri.