Seorang doktor pakar Hospital Kuala Lumpur hari ini mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami Mohamad Sabu "boleh berlaku" seperti dakwaan bahawa timbalan presiden PAS itu cedera akibat terjatuh setelah dilanggar kereta polis.
Dr Ankimtay Rutel yang merawat Mohamad pada hari perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu berkata demikian ketika disoal dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini.
Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee bertanya kepada Ankimtay, 31, sama ada kecederaan berdasarkan pemeriksaan itu konsisten dengan "hentaman" yang didakwa dialami Mohamad.
Ankimtay bersetuju apabila ditanya demikian.
Ditanya lanjut sama ada kecederaan yang dialami itu konsisten dengan dakwaan bahawa Mohamad terjatuh selepas dilanggar kereta polis, Ankimtay berkata "boleh berlaku."
Berdasarkan pemeriksaannya, Ankimtay berkata beliau mendapati bahawa Mohamad mengalami luka dan juga bengkak di bahagian lutut berkenaan.
Katanya lagi, beliau bagaimanapun telah memberikan pil penahan sakit dan bengkak kepada Mohamad.
Beliau telah meminta Mohamad berehat dan berkudian.