SHAH ALAM- Pemimpin Pas sepakat menggesa agar Majlis Tertinggi Umno yang memberi kenyataan 'sedia berundur' untuk menunjukkan bukti bahawa mereka benar-benar bersedia.
Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, Pas sudah lama mengamalkan konsep menarik diri jika calon tiada ciri-ciri 'winable candidate'.
"Kita sudah lama praktikkan... cuma tidak war-warkan pada media. Kalau bagi pihak saya sendiri pula, saya tidak tahu (untuk berundur) kerana semua keputusan terletak pada parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun Mohamad berkata, beliau ragu-ragu dengan kenyataan yang diberi oleh pemimpin tertinggi Umno itu samada 'bersungguh-sungguh' atau hendak mencari sokongan.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub pula berkata, samada seseorang perlu menarik diri atau tidak ia terserah pada parti untuk menentukannya.
Katanya, seorang pemimpin berintegriti haruslah menyerahkan segala amanah dan kerja keras yang dilakukan kepada parti untuk dinilai.
"Dipilih atau tidak, keputusan parti lebih penting daripada kepentingan peribadi. Samada dipilih menjadi calon atau wakil rakyat, kita perlu serahkan pada parti dan ini ciri-ciri seorang yang ada integriti," katanya.
Salahuddin menambah, amalan ini juga akan dipegang oleh Pakatan Rakyat bagi memastikan amanah dan tanggungjawab dapat dipikul oleh seseorang calon.
Pada hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2011, tiga Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin menyatakan sedia tarik diri sekiranya mereka adalah calon yang dikatakan tidak boleh menang. Ia reaksi terhadap ucapan dasar Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada ucapan dasar Najib, beliau berkata calon boleh menang akan diletakkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) akan datang dan meminta semua ahli mendahulukan kepentingan parti daripada peribadi.
Pada sidang media kemudiannya, ketiga-tiga naib presiden berkata mereka bersedia memimpin melalui teladan dengan berundur secara terhormat jika ahli dan rakyat merasakan khidmat mereka tidak lagi diperlukan, jika mereka bukan calon yang boleh menang.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu seperti ini tidak timbul di dalam Pas, sebaliknya beliau mencabar salah seorang daripada majlis tertinggi Umno yang memberi kenyataan 'bersedia undur diri' untuk tampil memberi kenyataan bahawa mereka sanggup berundur dan memberi laluan pada calon lain.
"Saya cabar mereka, salah seorang pun cukup, buat kenyataan yang mereka sanggup undur diri dan tidak akan bertanding pada PRU 13 untuk memberi laluan pada calon lain.
"Jika tidak, saya anggap kenyataan mereka sebelum ini hanyalah kenyataan untuk bermain politik," tegasnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga berkata, jika mereka berani mengeluarkan kenyataan tersebut, maka mereka sememangnya wajar dijadikan contoh oleh ahli Umno yang lain.
Mahfuz turut menegaskan, ucapan dasar presiden Umno sebelum ini juga memberi gambaran bahawa parti itu akan menampilkan calon 'segar'.
"Masalah ini timbul sebab dalam ucapan dasar Presiden Umno, beliau memberitahu supaya ahli yang lain tidak tolak calon muka baru dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka akan tampilkan calon baru.
"Bagaimanapun dalam Umno sendiri, mereka tidak boleh menerima calon baru sebaliknya mereka lebih suka calon lama. Ini menunjukkan terdapat ahli-ahli mereka yang akan 'support' calon-calon tertentu," jelasnya.- sinar