ARTIKEL SEBELUM

20/12/11

Budak nekad curi bas kilang

bas


Oleh : NUR SHARIEZA ISMAIL

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, nekad melarikan sebuah bas kilang di Taman Rasa Sayang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek cuba melarikan bas berkenaan sejauh hampir satu kilometer tetapi disedari penduduk taman berkenaan, yang kemudiannya mengejar remaja terbabit.

Keadaan semakin tidak terkawal, apabila perbuatan suspek itu menyebabkan beberapa kenderaan penduduk taman berkenaan turut dirempuh bas yang dipandunya.

Bas berkenaan kemudiannya ditemui di kawasan lapang projek pembinaan rumah kedai berdekatan Balai Polis Senawang, di sini.

Sebelum kejadian, suspek yang bersendirian dipercayai melarikan diri selepas terlibat dalam pergaduhan dan bersembunyi di dalam bas yang tidak berkunci dan kebetulan, kuncinya pula ditinggalkan begitu sahaja.

Saksi kejadian, Zulkifli Muhamad, 44, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam masjid taman berkenaan.

Menurutnya, dia terkejut mendengar dentuman seperti perlanggaran di luar masjid dan bunyinya pula berselang-seli.

“Suasana menjadi kecoh dan panik apabila ramai penduduk mengejar bas yang dilarikan remaja terbabit.

“Suasana gelap menyukarkan kami melihat siapa yang memandu bas,” katanya.

Menurutnya, dia ke lokasi bas ditemui selepas dimaklumkan penduduk.

“Walaupun keadaan dalam bas gelap, kami akhirnya berjaya menangkap suspek yang cuba menyembunyikan diri di dalam bas berkenaan.

 “Saya telah menyerahkan suspek ke Balai Polis Senawang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud