ARTIKEL SEBELUM

5/12/11

Biarlah PAS 'diperkuda' dari Umno 'diperlembu'



SHAH ALAM, 4 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara sindiran mendakwa adalah lebih baik PAS 'diperkuda' berbanding Umno yang 'diperlembu'.

Berucap pada majlis Rapat Rakyat di Stadium Malawati di sini, malam ini beliau menjelaskan, kuda diguna untuk berjuang tetapi lembu hanya untuk disembelih.

"Sudah tiba masanya buat perubahan, jangan peduli dengan tohmahan PAS diperkuda DAP, DAP diperkuda PAS.

"Umno diperlembukan. Lebih baik diperkuda dari diperlembu kerana kuda diguna untuk perjuangan tetapi lembu untuk disembelih," katanya disambut sorakan gemuruh kira-kira 10,000 hadirin.

Ucapan sinis tersebut sebagai membidas tuduhan pimpinan Umno khususnya Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perhimpunan Agung Umno bahawa PAS diperkuda oleh DAP.

Menjelaskan tuduhan itu, Presiden PAS itu berkata, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dibuat atas dasar bersama mahu membawa keadilan dan menentang kezaliman.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang berkata, ianya juga atas dasar mahu membina hubungan antara kaum yang lebih kuat yang gagal dibuat Umno BN sepanjang lebih lima dekad merdeka.

Kegagalan itu kerana Umno masih menggunakan sistem penjajah iaitu melaga-lagakan pelbagai kaum dan pada masa yang sama menolak Islam.

"Kegagalan ini kerana Umno mendahulukan Melayu dan membelakangkan Islam.

"Perjuangan mereka pula untuk menyelamatkan diri pemimpin dengan mengapi-apikan perkauman, bukan mahu menyelamatkan negara," katanya lagi.

Turut hadir dan berucap pada program malam ini adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pimpinan PR Selangor termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud