KUALA LUMPUR: Pimpinan Umno-BN memperalatkan polis dalam cubaan untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegas Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Menurutnya, ia berikutan siasatan terhadap ketua pembangkang itu dalam kes video fitnah yang dihadapinya, ketika pilihan raya umum kian hampir.
“Satu siasatan jenayah baru telah dilakukan terhadapnya berdasarkan satu laporan yang dibuat oleh satu DSP Shanmugamoorthy yang telah menyiasat aduan Anwar berhubung ugutan, peras ugut dan fitnah jenayah oleh trio ‘Datuk T’.
“Maka, daripada menjadi seorang pengadu, pihak berkuasa telah menjadikan Anwar sebagai orang tertuduh,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, seluruh siasatan dirancang oleh pegawai tertinggi polis, dengan pengetahuan dan pembabitan peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Justeru itu katanya, Umno-BN perlu menghentikan salahgunakuasa dengan menggunakan institusi tersebut bagi mengekalkan kuasa politik mereka.
“Kita menyeru kerajaan BN menghentikan penyiasatan dan pendakwaan berunsur politik terhadap Anwar Ibrahim dan menyertai politik demokrasi melalui perbahasan dan wacana awam secara rasional,” katanya.
Pada 16 November lalu, polis merakam kenyataan Anwar berhubung dakwaan kononnya memberi ‘laporan palsu’ dalam kes video fitnah yang dikaitkan dengannya.
Ia berhubung laporan polis yang dibuat Anwar terhadap trio “Datuk T” yang menayangkan satu rakaman video seks kepada petugas media dan individu tertentu di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Tiga individu itu ialah – bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Pimpinan KEADILAN menafikan sekeras-kerasnya individu dalam rakaman itu adalah Anwar berdasarkan bentuk tubuh pelaku terbabit, dan menganggap ia konspirasi terbaru Umno-BN untuk menjatuhkan Anwar.