KOTA BHARU, 28 Nov: Seramai 40 orang peserta rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Parit Buntar menegaskan mereka tetap akan menyokong perjuangan di hadapan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mereka menyatakan demikian sempena lawatan rasmi mengunjungi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, di kediaman rasmi, di sini petang ini.
Rombongan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum wanita serta bekas penyokong MCA diketuai Pengerusi DHPP kawasan tersebut, Ricky Tang.
(Gambar: Tuan Guru menerima cenderahati daripada Ricky Tang.)
Ricky dalam ucapannya memberitahu, masyarakat bukan Islam di negeri ini khususnya kaum Cina sering diberi bayangan buruk berhubung perjuangan PAS dengan tujuan menakutkan mereka.
“Bagaimanapun, semakin mereka ditakuti sokongan terhadap PAS semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pihak lawan sudak tidak boleh berbuat apa berhubung ledakan sokongan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan terbabit meninjau perkembangan kehidupan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini sejak 21 tahun lalu melalui golongan terbabit.
“Tuan-tuan boleh bertanya masyarakat Cina Kelantan, adakah saya selaku ketua kerajaan mengkhianati mereka sama ada dari segi ekonomi, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya?
“Tuan-tuan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang tidak tepat dari orang tertentu tanpa merujuk sendiri dari masyarakat bukan Islam di negeri ini,” ujarnya.
Tuan Guru turut melahirkan rasa bertuah serta terima kasih kerana sudi mengunjunginya, walaupun dalam keadaan demam, namun kerana rasa gembira untuk bertemu masyarakat terbabit, beliau gagahi juga.