Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya, pembubaran Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar 11 November ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar jangkaan orang ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu diperolehi oleh pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai.
Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti akan menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air kerana ia diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.
"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan, maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan oleh Kerajaan BN.
"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi menghalalkan regim Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya dilakukan.
Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga seharusnya satu proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.
Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard menambah, yakinlah, rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang.
"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar," tegasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan turun bukan sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan," ujarnya.
Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai pihak dapat melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di beberapa buah negara.
Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihanraya negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafikan pihak pemerintah.
"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Datuk Seri Najib dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen)," katanya.
Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan bahawa PRU Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi proses pilihanraya selesai.
"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai perkembangan negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara 'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)" ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.