PUTRAJAYA – Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia pada tahun 2017, dan untuk Sekolah Menengah pada 2021, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat Kabinet hari ini turut memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa untuk meneruskannya sehingga ke Tingkatan Lima.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran membuat pengumuman itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau akan membuat penjelasan terperinci pada hari ini mengenai bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI.
Kabinet pada 2009 sudah membuat keputusan yang PPSMI tidak akan diteruskan.- BERNAMA