SKUDAI - Penduduk di kawasan pangsapuri Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) menggesa satu siasatan segera dilakukan berhubung kejadian membakar motosikal yang semakin kerap berlaku di kawasan terbabit.
Dalam kejadian keenam awal pagi semalam, sebuah motosikal yang diletakkan di tempat letak kenderaan dilaporkan terbakar di Blok 62 pangsapuri tersebut.
Insiden itu disedari pemiliknya Yong Chee Zhong, 25, yang mendengar bunyi alat penggera motosikalnya berbunyi kira-kira jam 12.30 pagi itu.
“Saya terus turun ke aras bawah dan mendapati motosikal saya sedang terbakar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Insiden sama juga berlaku kepada seorang penduduk, Chew Hong Theang, 33, dalam kejadian 9 November lalu.
”Saya dikejutkan oleh bunyi bising orang ramai dan apabila keluar untuk melihat apa yang berlaku, saya dapati motosikal saya terbakar.
“Disebabkan kejadian malang itu, saya kerugian sebanyak RM5,000, selain kehilangan kenderaan bagi mencari nafkah,” katanya yang tinggal di Blok 56 pangsapuri terbabit.
Untuk November ini sahaja, sudah tiga motosikal dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk kejadian pada 3 November, juga di Blok 56.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Ruslan Hassan berkata, tindakan segera diambil dengan menempatkan anggota di setiap blok di situ.
“Dua minggu lalu, polis ada menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kes ini, namun polis tidak mempunyai keterangan lengkap bagi mendakwa individu ini dan kini, usaha untuk menjejak kembali dalang di sebalik kes kebakaran motosikal ini giat dilakukan.
“Jika sebelum ini, kita hanya menempatkan anggota di blok terpilih, namun insiden yang sama tetap berlaku. Bermula malam ini (semalam), kita letakkan anggota di semua blok,” katanya.
Ruslan berkata, polis akan ditempatkan bermula jam 10 malam hingga 7 pagi, bagi memastikan kejadian kebakaran tidak berulang.
“Hasil siasatan awal yang dibuat, suspek ini tidak memilih mangsa atau tempat untuk melakukan jenayah, dan ia disifatkan dibuat atas dasar tabiat suka-suka,” katanya.