KUALA LUMPUR 11 Nov : Alasan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa kondominium yang dibeli oleh Syarikat National Feedlot Corpratioan (NFC) untuk tujuan pelaburan, adalah tidak masuk akal, kata Pengarah Strategi KEADILAN Rafizi Ramli.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Khairy bahawa bayaran sebanyak RM9.8 juta itu dibuat supaya National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC) mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi.
“Alasan membeli kondominum sebagai pelaburan sementara menunggu projek itu berjalan adalah tidak masuk akal,” “Kalau kerajaan sudah tiada duit untuk bangunkan ladang satelit yang terbantut, kerajaan (sepatutnya) mengambil kembali duit tersebut tapi kenapa beri duit itu untuk membeli kondominium,” kata Rafizi pada Keadilan Daily.
Semalam KEADILAN mendedahkan NFC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil membeli kondominium tersebut di Bangsar yang direkodkan sebagai sebahagian hutang oleh NMLC.
Menurut Rafizi lagi jawapan yang diberikan Khairy tidak profesional dan terlalu emosi.
“Jawapan dia (Khairy) terlalu bersifat peribadi dan terdesak. Saya kesal dengan tindakan beliau yang terlalu emosi dalam kenyataannya,” katanya yang akan memberi respon lanjut pada Isnin depan.
Bawah petikan dari Malaysiakini
Projek lembu: Beli kondo untuk pelaburan, kata Khairy
Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengakui bahawa syarikat National Livestock and Meat Corporation yang dimiliki anggota keluarga menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli unit apartmen mewah One Menerung di Bangsar, dilaporkan dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta.
Pembelian kondominium itu dibuat supaya NLMC mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh National Feedlot Corporation mengalami kelewatan operasi, kata ahli parlimen Rembau itu dalam tulisan di blognya, rembau.net.
"Apabila kelewatan ini berlaku, pihak pengurusan NFC berdepan dengan keputusan penting. Apakah mereka hanya biar duit yang diberi kepada NLMC itu dalam akaun semasa yang tidak memberi pulangan yang besar sambil menunggu ladang-ladang satelit dan pusat penyembelihan antarabangsa dibangunkan?
"Kalau dibiar sahaja duit itu dalam akaun semasa, bukan sekadar ia tidak membawa pulangan tetapi dengan iklim ekonomi dunia yang melihat fenomena inflasi atau kenaikan harga barang, nilai sebenar duit ini mungkin terhakis," kata Khairy lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang ditimbulkan ahli parlimen PKR Saifuddin Nasution dan juga pengarah strategik parti itu, Rafizi Ramli berhubung pembelian hartanah yang disifatkan sebagai penyelewengan dana awam.
Pembelian untuk kondominium eksklusif berkenaan telah direkodkan sebagai hutang NFC kepada NMLC, dakwa Saifuddin semalam.
Mengulas lanjut, Khairy pula berkata, NLMC telah membeli apartmen mewah itu daripada dana yang disalurkan daripada dana NFC.
"Menurut kajian saya, memang benar NLMC telah membeli apartmen One Menerung di Bangsar. Pelaburan ini dibuat dengan dana yang telah disalurkan kepada NFC daripada akaun pinjaman khas yang dikawal selia oleh kementerian kewangan dan juga kementerian pertanian dan industri asas tani.
"Daripada sumber ini, NFC telah memindah sebanyak RM81.2 juta kepada NLMC," katanya lagi yang menjelaskan bahawa peruntukan itu bertujuan untuk menampung kos operasi NLMC – menyembelih, mengasingkan daging dan tulang, serta pembungkusan dan penghantaran kelewatan projek fidlot.
Khairy juga berkata pengurusan NLMC membuat keputusan untuk melabur dalam aset hartanah yang "boleh dijual apabila duit diperlukan untuk operasi" akibat kelewatan operasi berkenaan.
"Sudah pasti mereka mencari projek perumahan yang berkualiti tinggi dan popular agar pulangan NLMC dalam bentuk sewa dan juga kenaikan harga apartmen itu lebih besar dari pelaburan lain seperti akaun simpanan tetap.
"Difahamkan, apartmen berkenaan telahpun disewa dan mula memberi pulangan kepada NLMC. Nilai apartmen tersebut juga telah naik sejak dibeli NLMC," kata Khairy lagi.
Mengulas mengenai kelewatan operasi projek lembu fidlot tersebut pula, Khairy berkata perkembangan itu bukan disebabkan pengurusan NFC tetapi memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk membangunkan ladang satelit.
"Apabila ladang ini tidak dibangunkan, sebahagian dari duit yang ada pada NLMC tidak dibelanjakan. Kerajaan juga masih tidak dapat membina pusat penyembelihan yang menepati piawai antarabangsa sepertimana perjanjiannya dengan NFC," katanya lagi.
Dengan panjang lebar, Khairy turut menjelaskan bahawa wang berkenaan tetap disalurkan kepada NFC walau berlaku kelewatan operasi kerana "kerajaan telah meluluskan penggunaan pinjaman dari akaun pinjaman khas kepada NFC mengikut perancangan awal tanpa apa-apa kelewatan kepada operasi NFC."
"Tetapi apabila keadaan ekonomi dunia dan negara menjadi lebih mencabar, adalah menjadi wajar untuk kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaannya dan inilah yang menyebabkan kelewatan operasi NFC seperti dijelaskan di atas," katanya lagi.