Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, perlaksanaan gaji minima ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negeri mahu pun Kerajaan Pusat sehingga hari ini.

Menurutnya, usaha Kerajaan Negeri ini perlu dicontohi oleh Kerajaan Pusat dan kesemua negeri termasuk pemerintahan Pakatan Rakyat (PR).

“Selangor telah mencipta satu sejarah, kerana sejak 1947 sehingga kini, perlaksanaan gaji minima RM1,500 ini membuktikan bahawa ia bukan mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

“Saya meminta semua pihak termasuk Kerajaan Pusat serta negeri di bawah PR untuk cuba melaksanakan gaji minima ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perlaksanaan gaji minima oleh Kerajaan Negeri ini, perlu dicontohi oleh pihak lain termasuk Kerajaan Pusat.

Abdullah berkata, ketelusan sesebuah kerajaan dapat diukur melalui penetapan gaji minima seperti ini yang diiktiraf kesatuan itu sebagai langkah proaktif Kerajaan Negeri bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, pekerja asing kini menjadi saingan rakyat tempatan dalam sektor binaan dan perindustrian berdasarkan kos bayaran gaji yang murah.

Menurutnya, sekiranya gaji minima dapat dilaksanakan, maka ruang tersebut mampu diisi oleh pekerja tempatan sekali gus mengurangkan peratusan pengangguran.

“Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan inisiatif menerajui dasar yang lebih menguntungkan masyarakat di negara ini seraya meningkatkan daya saing,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Negeri Selangor akan melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 bagi kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri, bermula 2012.

Perlaksanaan ini akan dilaksanakan bagi kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd.

Manakala, bagi syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan.