(Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR: Pemansuhan beberapa undang-undang lapuk tidak bererti kepada amalan demokrasi berikutan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) baru yang lebih keras, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyokong penarikan tiga pengisytiharan darurat yang berlarutan selama 40 tahun, beliau berkata, RUU Himpunan Aman tidak perlu wujud dalam sesebuah negara demokrasi.
“Pembatalan (Akta Darurat) tidak menjadi persoalan besar. Walaupun PM menyebut kelonggaran besar diberi, namun (terbukti) hukuman lebih berat (dicadangkan) iaitu hukuman denda RM20,000.
“Pengecualian tidak dilihat dengan teliti. Walaupun Akta Darurat dibatal dan kita sokong, namun cadangan (RUU) masih bersifat mengongkong dan membelenggu rakyat,” katanya.
Ketua Umum KEADILAN itu merujuk cadangan RUU itu yang mengenakan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Anwar membidas cadangan pengenalan akta baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diakui kerajaan sebagai kekal bersifat tahanan tanpa bicara.
“Prinsip yang ditekan dalam pembatalan tahanan tanpa bicara memperkenal prinsip menafikan hak (tertuduh) mendapat proses adil. PM perlu perjelas ini,” katanya.
Sikap Najib ini menyerlah sikap tidak konsisten berikutan setiap tindak tanduk bertentangan dengan janji transformasinya yang digembar gembur media kawalan Umno.