ARTIKEL SEBELUM

14/11/11

Hospiltal Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) terbakar...


Kuala Terengganu — Pesakit dan kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini, gempar apabila bangunan hospital yang masih dalam pembinaan terbakar berikutan berlakunya asap tebal.

Akibat kejadian itu beratus-ratus pesakit yang berada dalam wad di bangunan bersebelahan terpaksa dipindahkan ke tingkat bawah hospital berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Turut dipindahkan ibu dan bayi yang baru dilahirkan, pesakit lain serta orang ramai yang menjaga pesakit turut keluar dari bangunan wad hospital itu.

Jurutera Kanan Kawalan Kualiti Projek, Yassin Sidek berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi apabila dua pekerja menyalakan obor kerana keadaan gelap bagi melakukan kerja-kerja penyambungan paip di blok utama wad bersalin yang dalam proses pembinaan itu.

Bagaimanapun ketika sampai di pintu masuk bangunan wad itu, api tersebut terus menyambar gam PVC yang berada berhampiran pintu tersebut.

"Dalam beberapa saat sahaja bangunan itu mengeluarkan asap tebal dan hampir separuh saluran pendingin hawa bangunan tersebut terbakar,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 237 pekerja sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan hospital baru itu setinggi enam tingkat, yang mula dibina September 2008 dan dijangka siap pada April tahun depan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Azmi Salleh berkata, kejadian itu menyebabkan empat peratus bahagian tingkat bawah bangunan tersebut rosak.

Katanya punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan percaya asap itu berpunca daripada cecair penyejat yang dikenali PU Foam yang menyejat air dalam pendingin hawa menyebabkan ia mengeluarkan asap tebal. — Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud