(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA UMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, debat bersama Khairy Jamaluddin berkenaan isu penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) tetap akan diteruskan seperti tarikh yang dicadangkan 12 Disember ini.
“Kita (KEADILAN) akan teruskan kerana dia (Khairy) tidak pernah membuat kenyataan menolak debat ini malah sebelum itu pernah membuat kenyataan di media arus perdana bahawa beliau bersedia,”
“Dia (Khairy) telah membuat kenyataan secara terbuka melalui twitternya dan (berkata) akan pertimbangkan. Jadi bagi saya dia sebenarnya telah menerima jemputan tersebut dan tidak ada masalah dengan tarikh,” kata Rafizi.
Pada 18 November lalu, Rafizi menghantar surat jemputan kepada Ketua Pemuda Umno itu berhubung tawaran debat berkenaan.
Menurut Rafizi, beliau bercadang menghantar satu lagi surat bagi memperincikan tempat dan masa debat tersebut dalam minggu ini.
“Minggu ni kita akan selesaikan tempat dan penganjur, namun berkenaan cadangan format kita akan bincangkan lebih lanjut dengan beliau dalam surat,” katanya.
Tambahnya beliau turut menyambut baik tawaran TV Selangor (TVS) untuk menyiarkan siaran secara langsung menerusi sesawangnya.
“Memang kita akan jemput TV Selangor untuk membuat siaran langsung dan saya akan berbincang dengan lebih lanjut dengan mereka,” kata beliau.
Rafizi sebelum ini mencabar Khairy berdebat dengannya ekoran sikapnya yang begitu ghairah membela Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang didakwa terlibat dengan skandal NFC tersebut.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan penyelewengan dana sebanyak RM250 oleh NFC yang gagal meletakkan sasarannya untuk memenuhi keperluan pasaran daging tempatan.
Selain perbelanjaan lawatan ke luar negara, sebanyak RM116 juta dilabur dalam simpanan tetap yang memberi keuntungan atas angin lebih RM600,000.
KEADILAN turut mendedahkan NFC membeli sebuah kondominum mewah bernilai RM9.8 Juta dan turut membiayai pakej umrah bernilai RM31,580 atas nama suami dan anaknya.
Dalam pada itu, pelbagai urus niaga dan pemindahan wang turut dikesan melibatkan syarikat dan restoran mewah milik keluarga Shahrizat, termasuk di Singapura.