Timbalan Ketua Majlis Ahli Parlimen BN Datuk Bung Moktar Radin hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) patut meletakkan jawatan.
Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.
Bung Moktar (kiri) membuat komen itu ketika anggota parlimen BN membahaskan isu rundingan pertukaran saham antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dengan Malaysia Airlines.
"Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.
"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.
"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.
Anggota parlimen Kinabatangan itu tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
"Dia patut bertanggungjawab dan menghadapi akibatnya," kata Bung Moktar.