SHAH ALAM 9 Nov: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada semua penjawat awam termasuk kakitangan kerajaan tempatan dengan pemberian minima serendah RM500.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2012 yang bertema Hasil Negeri Untuk Rakyat, hari ini.
“Bagi meringankan beban sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang dan tangga gaji yang tidak seimbang, saya juga ingin mengumumkan bonus sebayak setengah bulan gaji dengan pemberian minima sebanyak RM500 kepada seluruh kakitangan awam di negeri Selangor, termasuk kakitangan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Khalid dalam pada itu berkata, kerajaan negeri juga akan menambah baik kualiti perkhidmatan kerajaan melalui peruntukan latihan sebanyak RM500 juta.
“Ini tidak termasuk semua kemudahan teknologi yang ditingkatkan serta perbelanjaan mengurus dan penyelidikan,” jelasnya.
SHAH ALAM 9 Nov: Kerajaan negeri Selangor melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan bermula tahun depan, dalam usaha menterjemah dasar itu yang diperjuang Pakatan Rakyat.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Belanjawan 2012 yang dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Menurut Khalid, pelaksanaan gaji minima itu dijalankan menerusi peruntukan Geran Selangorku sebanyak RM300 juta.
Bagi syarikat milik kerajaan negeri, katanya, gaji minima akan diperkenalkan pada kadar RM1,500 gaji kasar.
“Ini akan dimulakan oleh syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya stabil seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide,” kata Khalid.
Bagi syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya belum stabil, kata Khalid, dana sebanyak RM10 juta akan disediakan untuk menampung syarikat kerajaan negeri yang tidak berupaya menampung kos untuk dasar ini.
Menurut Khalid, kerajaan Selangor akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minima.
“Hasrat sebenar bukanlah untuk menabur wang tetapi untuk memberi tambahan pengetahuan dan kemahiran kepada pekerja yang berpendapatan rendah.
“Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan mereka tidak lagi bergantung kepada pemberian pada masa akan datang tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup untuk bersaing dan boleh diguna untuk mencapai gaji yang lebih baik,” kata Khalid. keadilandaily