"Saya tidak takut dan tidak gentar kalau pun saya dipenjara kerana agenda mereformasikan negara ini dari cengkaman kezaliman pemimpin-pemimpin Umno-BN merupakan agenda rakyat yang didokong oleh Keadilan," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya dipenjarakan enam tahun, ada harga minyak turun? Politik antara kaum bertambah baik? Negara semakin sejahtera? Jadi semua yang berlaku selama ini bukan kerana Anwar," tegas Anwar di dalam ucapan penggulungannya di Kongres Parti Keadilan Rakyat ke-8 di sini.
Anwar berkata pertemuan dengan rakyat bawahan untuk mendengar keluh kesah mereka adalah ubat mujarab yang menjadi formula kepada karier politiknya yang sering dihimpit pelbagai dugaan dan cabaran pihak lawan.
"Saya belajar semua ini dengan siapa? Dengan pak lebai dan semangat saya datangnya dari mana? Dari mak cik tua. Golongan ini yang memberi api kepada obor perjuangan kita.
"Setiap kali saya bersua muka dengan rakyat bawahan, saya renung mata mereka, saya nampak harapan mereka," katanya.
Menyedari kekuatan perjuangan Pakatan Rakyat berpunca dari rakyat bawahan, Anwar menjelaskan Umno-BN menjadikan golongan ini sebagai sasaran untuk menyebarkan fitnah bagi memburukan dan menyemai benih kebencian kepada Pakatan.
"Strategi penting mereka (Umno-BN) ialah menyebarkan fitnah dan khabar angin supaya membenci kita."