ARTIKEL SEBELUM

22/10/11

Najib disabotaj isu Aziz?

Ahmad Lutfi Othman


Semasa pemerintahan Najib Razak nampak terkial-kial menyusun program menagih sokongan rakyat, banyak pula insiden menimpa yang makin menyukarnya untuk memulihkan imej BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengumuman transformasi politik, seperti janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada malam Hari Malaysia lalu, menjadi pudar apabila dalam masa sama ia disusuli tindakan-tindakan "keras, tidak demokratik, dan menutup ruang perbahasan secara sihat".

Misalnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di bawah Kanun Keseksaan kerana pandangannya berhubung peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950, ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Apakah hanya kerana mempunyai pandangan berbeda tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara, maka mahkamah terpaksa dipilih untuk mengadili Mat Sabu, dan bukannya melalui perdebatan, perbahasan atau dialog?

Terkini, tambah membebankan Najib apabila pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, digantung tugas dan dilarang memasuki kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disebabkan pandangan beliau terhadap isu yang berkaitan dengan bidangnya.

Gejala ini bukan perkara baru. Sebelum ini ramai tenaga akademik menerima surat amaran daripada pentadbiran universiti ekoran pandangan atau kenyataan akhbar yang dilihat menimbulkan "kegemparan", walaupun ia menyentuh bidang kepakaran atau hasil penyelidikan mereka.

Hanya kerana isu jerubu melanda negara atau masalah sosial generasi muda, yang ditimbulkan oleh pensyarah dalam bidang berkenaan, mereka boleh mendapat "surat cinta" dan terpaksa "menutup mulut" kemudiannya. Ada juga pensyarah sains politik yang ditegur kerana bercakap dengan pihak akhbar mengenai tuntutan bertindih dengan negara jiran.

Justeru, golongan cendekiawan kita semakin bersendirian, tinggi di menara gading, terpisah dengan realiti masyarakat, ibarat "mati di pucuk". Mereka seperti dilarang menyumbang idea dan menyalur pandangan bernas terhadap pergolakan atau konflik di persekitaran. Waduh ... bukan saja malang berganda tetapi juga membazirkan wang rakyat.

Ternyata, kebebasan akademik dan hak bersuara warga kampus dinafikan serta dicabuli pentadbiran (baru) UIAM. Reaksinya, seperti diduga, merata dan merebak dengan cepat. Suara simpati dan sokongan terhadap Aziz segera tumpah di mana-mana, terutama di laman sosial, facebook.

Dalam waktu singkat, selepas sehari Aziz digantung tugas, aksi protes melalui demonstrasi berjaya digembleng, di UIAM sendiri. Anak-anak muda, mungkin sebahagiannya anak murid beliau, bingkas bangun bersuara lantang. Selama ini kampus Gombak itu tidak pernah mengizinkan kelompok mahasiwa pro-Umno menerajui gerakan pelajarnya.

Ia juga difaktorkan oleh kewibawaan dan keberanian Aziz, yang diakui ramai. Malah beliau pernah membidas keras Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan polemik dalam parti. Suatu bukti Aziz bersuara tanpa takut, tanpa segan.

Dalam mempertahankan Abdul Aziz, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang juga prof madya undang-undang, Dr Azmi Sharom berkata, Akta Hasutan sendiri membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.

Baginya, Aziz semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan. Menurut Azmi, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.

Setiausaha Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Madya Dr Rosli Mahat turut melahirkan rasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang dikenakan terhadap Aziz.

"Aziz seorang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dari Universiti Oxford, London, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras: "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Ia tindakan mengampu dan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik. UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran."

Secara peribadi Aziz mudah didekati, tidak lokek idea, dan sebagai pengamal media, saya begitu senang sekali dengan minat mendalamnya terhadap dunia penulisan dan penerbitan. Lebih 10 tahun lalu, semasa saya menerbitkan majalah Detik, Wasilah dan siri akhbar tidak berkala di Medan Idaman, tidak jauh daripada kampus UIAM Gombak, Aziz agak kerap mengunjungi pejabat Penerbitan Pemuda.

Selain bertukar-tukar fikiran dan cerita, Aziz cukup prihatin dengan mutu bahan penerbitan kami. Lebih mengujakan, ziarah beliau bersama-sama bahan yang kami boleh manfaatkan. Bukan sekadar kritikan membina, tetapi juga tulisan yang boleh dikongsi pembaca.

Lama sebelum komentarnya terhadap Sultan Selangor, bicara Aziz menampakkan beliau benar-benar independen. "Selepas Prof Jomo KS ke PBB, saya lihat satu-satunya tokoh pemberani di kalangan ahli akademik adalah Prof Aziz Bari. Hairan ya, dia seperti tidak takut langsung untuk bersuara," kata seorang sahabat lama dari Skudai, Johor.

Saya kira tekanan ke atas pentadbiran UIAM untuk mengambil tindakan ke atas Aziz bukan semata-mata disebabkan kenyataan terakhirnya itu. "Dendam" ini sudah lama meruap. Pihak tertentu hanya menunggu masa sesuai untuk "memerangkapnya".

Apa pun, yang pasti, episod gelita ini bukan sahaja meninggalkan kesukaran berpanjangan buat Najib tetapi telah menggagalkan usaha tungkus-lumusnya membina imej baru BN menjelang PRU13. Tokoh sehebat Aziz tidak rugi apa-apa jika disingkirkan. Peluangnya terbuka luas di tempat lain.

"Soalnya, apakah ini petanda jelas ada perancangan untuk sabotaj Najib daripada dalam? Generasi muda dan masyarakat kelas menengah terkesan dengan isu Aziz Bari ini," kata seorang editor kanan, yang mengakui hairan dengan tindakan drastik UIAM itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud