KUALA LUMPUR 27 Okt: Perdana Menteri didakwa mengetahui peranan Tan Sri Abdul Gani Patail yang terlibat memalsukan bukti siasatan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dinyatakan bekas pegawai kanan polis, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya yang terbaru kepada Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Mat Zain, beliau bertemu secara peribadi dengan Najib pada Oktober 2008, yang pada masa itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.Beliau mengadakan pertemuan dengan Najib bagi membincangkan pembabitan Abdul Gani dan juga Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan, lapor The Malaysian Insider.
“Komen YAB terhadap Gani Patail antara lainnya, ‘memang salah untuk memalsukan keterangan. Walaupun boleh jadi tujuan Gani adalah untuk menolong IGP’ (merujuk kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor), membuat keterangan palsu, adalah suatu kesalahan dan tidak patut dia lakukan,” kata Mat Zain merujuk kepada apa yang diperkatakan Najib pada pertemuan mereka.
Rahim digantikan oleh Tan Sri Norian Mai selepas dijatuhi hukuman kerana mencederakan Anwar ketika dalam tahanan polis.
Musa yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes mata lebam itu kemudian dinaikkan pangkat menggantikan Norian sebagai ketua polis negara.
Mat Zain seterusnya menulis, “komen terhadap Musa Hassan pula, YAB menyatakan antara lainnya, ‘saya mendapat tahu peranan Musa tidaklah seteruk Gani. Saya rasa beliau (Musa) boleh melepaskan diri.”
Dalam surat terbuka itu, Mat Zain menambah, Najib juga ada memberi jaminan untuk membincangkan pelantikan panel bebas dengan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.- kdaily