KEPALA BATAS, : Dewan Pemuda PAS Kepala Batas mencabar Umno menampilkan sijil dan nombor keahlian 36 orang yang didakwa pemuda PAS menyertai Umno di Kampung Bakau Tua, Penaga dua hari lepas.
Sekiranya gagal bermakna semua itu bohong sebaliknya sengaja mencipta drama untuk mengabui mata rakyat.
Ketuanya, Mohd Hafiz Kasim dalam kenyataanya menjelaskan, setakat siasatan oleh Dewan Pemuda PAS Kepala Batas hanya seorang sahaja merupakan ahli PAS manakala 36 orang lagi tidak mengenali status mereka.
"Umno dah kering modal maka mereka terpaksa mencipta drama untuk mengabui mata rakyat. Mereka terdesak kerana PAS telah mendapat sambutan hebat di Penaga di mana ramai ahli PAS bertambah," ujarnya.
Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) dengki dengan kemaraan PAS sejak kebelakangan ini maka tiada jalan lain untuk merendahkan pengaruh yang telah terbina kukuh Umno dan BN terpaksa mencari jalan bagaimana memporak perandakan terutamanya ikatan dalam Pakatan Rakyat.
Para pemimpin Umno khususnya di Dun Penaga yang berada dalam Parlimen Kepala Batas merasa gusar sebab pada 1 Oktober 2011 lepas PAS Pusat berjaya mengadakan Sambutan 60 tahun PAS di Dewan Milenium sebagai tanda sokongan semua pihak sama ada cendiakiawan, pelajar serta masyarakat umum terhadap PAS.
"Sebenarnya Umno dan BN nak bagi rakyat pandang kepada Umno sama kerana sejak minggu lalu masyarakat tertumpu pada program besar PAS. Maka, satu drama keluar parti direka," tegas beliau.
Dewan Pemuda PAS Kepala Batas memang menjangkakan kejadian tersebut akan berlaku sebagai menandakan pilihanraya umum akan diadakan dalam masa terdekat, katanya.
Bagi PAS, Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh penduduk dalam menjaga kebajikan mereka.
"Kita memandang serius kegagalan oleh Adun Umno itu dan berharap penduduk usah lagi memberikan undi pada parti yang bakal tengelam di lautan sebaliknya berpautlah pada PAS yang kini mendapat tempat," tambahnya.-Detik