ARTIKEL SEBELUM

27/10/11

Kelantan sedia jadi makmal hudud




SHAH ALAM – Kelantan sedia menjadi makmal hudud jika Kerajaan Pusat tidak terus menjadi penghalang untuk kerajaan negeri itu melaksanakannya.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tempoh selama 21 tahun negeri itu di bawah pemerintahan Pas dan 18 tahun sejak hudud diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan sebagai enakmen sudah cukup untuk menunjukkan persiapan dan kesediaan kerajaan negeri itu melaksanakan undang-undang berkenaan.

“Kita sedia untuk jadi makmal hudud, untuk semua pihak sama-sama menilai dan mengkaji pelaksanaan Enak­men Jenayah Syariah II yang diluluskan Dun Kelantan sejak 1993 tetapi Kerajaan Pusat tidak memberikan kita ruang itu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II untuk mengkaji sama ada undang-undang tersebut boleh dilaksanakan tanpa meminda Perlembagaan Negara.

“Jawatankuasa ini akan berperanan untuk mengkaji bagaimana kita boleh melaksanakan hudud tanpa perlu mendapat kemenangan majoriti di Parlimen bagi melaksanakan enakmen itu.

“Jika Umno benar-benar ikhlas mahu tegakkan hukum ALLAH sebagaimana yang dikatakan oleh pemimpinnya, mereka juga boleh beri bantuan kerana hanya majoriti mudah diperlukan di Parlimen untuk kita melepaskan diri daripada sekatan Perlembagaan.

“Kalau Umno memberi laluan, kita boleh pinda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988) yang menyekat pelaksanaan hudud. Ini kerana, bagi kami, kami tidak ada masalah untuk melaksanakannya asal saja tidak terus dihalang oleh Kerajaan Pusat dan juga kekangan Perlembagaan,” katanya.

Mohd Amar berkata, itu yang diminta oleh pihaknya dengan rendah hati kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya menimbangkan hasrat mereka untuk melaksanakan hudud dengan menjadikan Kelantan sebagai ‘makmal’ bagi menilai pelaksanaan undang-undang Islam itu.
“Kalau benar mereka juga tidak tolak hudud sebagaimana yang dikatakan, mereka perlu buktikan tanpa tunggu sehingga pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas menjadi panelis Wacana Sinar Harian ke-8 yang bertajuk Hudud: Dilema Pelaksanaannya di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Ketika berhujah pada wacana itu, Mohd Amar berkata, Kerajaan Pusat Nigeria yang beragama Kristian pun membenarkan kerajaan wilayah negara itu yang beragama Islam, melaksanakan hudud.

Menurutnya, meskipun hudud hanya sebahagian kecil daripada aspek pemerintahan Islam namun ia amat penting bagi mengekang gejala sosial daripada berleluasa sekali gus membentuk kehidupan yang aman harmoni bagi rakyat.

“Melaksanakan hudud adalah tuntutan agama. Di Kelantan, rakyat jelas mahukan syariat Islam dilaksanakan secara menyeluruh termasuk hudud. Ini terbukti dengan kehadiran lebih 50,000 orang pada majlis kesyukuran Enak­men Jenayah Syariah II meskipun hebahan hanya dilakukan tiga hari sebelum majlis.

“Kehadiran mereka dengan jelas menunjukkan keinginan dan sokongan rakyat. Mengapa hak mereka dinafikan oleh Kerajaan Pusat sedangkan dalam hal lain Kerajaan Pusat kononnya cukup menyanjung demokrasi yang berpaksikan suara majoriti?,” katanya.

Mohd Amar berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu diberikan laluan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu dan jika peluang itu diberi, sudah tentu mereka akan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin bagi menjamin kewibawaan hukum yang diper­turunkan menerusi al-Quran.

“Lagipun kami sudah terlalu lama menunggu. Jika gagal sekalipun, sekurang-kurangnya kita dapat mengenal pasti kelemahan dan mengatasi kelemahan itu, sekali gus membuktikan sistem perundangan Islam boleh dilaksanakan beroperasi dalam masyarakat moden hari ini.

Kepada satu soalan, Mohd Amar berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak menetapkan sasaran masa untuk Enakmen Jenayah Syariah II itu dapat dilaksanakan.

“Masalah yang dihadapi Pas ialah Kerajaan BN tiada tekad politik untuk menjayakan hudud. Kita bukan minta untuk laksanakan di seluruh negara cuma mereka berikan kita laluan untuk melaksanakannya di Kelantan. Itu saja,” katanya.

Mengenai jawatankuasa teknikal itu, Mohd Amar memberitahu, ia dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan mempunyai 19 ahli daripada pelbagai latar belakang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu berkata, antara perancangan yang dilakukan termasuk mengatur pertemuan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan perkara itu.

“Kita mahu melihat penemuan jawatankuasa teknikal terlebih dahulu. Bila jawatankuasa
sudah mengenal pasti masalah, barulah Nik Aziz boleh berjumpa dan berbincang dengan perdana menteri,” katanya.

Mengulas mengenai bantahan DAP, Mohd Amar berkata, parti berkenaan tidak menentang kerana mereka menghormati Enakmen Jenayah Syariah II yang diluluskan pada 1993 sebelum adanya pakatan itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud