ARTIKEL SEBELUM

24/10/11

Guan Eng: Muhyiddin jangan jadi pengecut

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjadi pengecut dengan terus menekan anaknya dengan isu mencabul seorang gadis seperti didakwa bloger pro Umno.

Menurutnya, adalah sangat zalim jika Timbalan Perdana Menteri itu terus melakukan demikian terhadap anaknya yang berumur 16 tahun itu dalam keadaan 'mangsa' yang didakwa dicabul itu sudah tampil menafikannya.

"Jika Muhyiddin benci saya sangat, dia boleh buat yang lebih buruk untuk jatuhkan saya melalui politik.

"Namun, Muhyiddin tidak perlu menyertai kumpulan pengecut dengan memfitnah anak saya yang berusia 16 tahun dan meletakkan anak saya sekali lagi melalui pengalaman yang trauma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno seperti dilapor media yang mahu Guan Eng memberi kenyataan yang kukuh berhubung isu yang dibangkit bloger Umno itu.

Guan Eng sebelum ini telahpun menafikan perkara itu dan dikukuhkan lagi dengan penafian oleh gadis tersebut, Anya Corke bahawa gambarnya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya.

Beliau juga menjelaskan tidak pernah menjadi mangsa dalam apa-apa cara oleh anak ketua menteri Pulau Pinang itu ataupun keluarganya.

"Apa pernyataan yang lebih kukuh diperlukan daripada saya apabila saya menafikan dan mengutuk fitnah ini sebagai tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima, tidak berperikemanusiaan," katanya.

Tambah beliau lagi, beliau yakin apa yang menimpa anaknya adalah percubaan bloger Umno untuk menjatuhkannya ekoran urus tadbir yang bersih dan berkesan untuk rakyat di Pulau Pinang.

Merka selama ini ujarnya menggunakan taktik pembohongan dan politik kebencian, namun apabila gagal, mereka kini mengalihkan senapang mereka pada anak yang masih bersekolah dan tidak berdosa.

"Jika Muhyiddin mahu dilihat sesuai untuk jawatan Perdana Menteri, dia mesti bermoral dan beretika.

"Dia gagal ujian moral dan etika ini apabila menekan seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah dan tidak mempunyai peluang mempertahankan dirinya," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud