(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa berkata kerajaan melarang video Undi lah disiarkan di televisyen tetapi membenarkan video seks fitnah disebar berleluasa di internet.
Katanya, ia jelas menunjukkan ketakutan Umno terhadap penyiaran video Undilah, yang turut memaparkan tokoh-tokoh pembangkang dan Tengku Razalegh Hamzah- yang dianggap pemimpin kontroversi dalam Umno.
“Nampak sangat betapa fobia nya kerajaan Umno-BN. Sedangkan video fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dimuat naik di internet dan diedarkan kepada orang ramai. Kenapa tak berani ambil tindakan?,’ soal Fariz.
Menurut Fariz, ikon yang dipaparkan dalam video undilah tidak berkempen untuk parti mereka, sebaliknya cuma mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih dan mengundi.
“Inilah ketakutan yang ditunjukkan Kementerian Penerangan yang bimbang dengan wajah-wajah yang ditampilkan itu kerana peranan mereka akan menjadi ikon kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Secara sinis, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mungkin menarik balik video itu kerana ia tidak menyiarkan muka isteri perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Mungkin syarat wajib siaran untuk video atau iklan khidmat sosial perlu tunjuk muka Rosmah. Lepas itu baru dibenarkan untuk tayangan di televisyen,” katanya kepada Keadilandaily.
Penarikan video 4 minit 28 saat itu dibuat tiga hari selepas pelancarannya pada 16 September melalui satu surat perintah SKMM kepada Astro dan Media Prima Bhd.
Antara yang muncul dalam video itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, ahli parlimen Pas Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN KEADILAN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Turut dipaparkan artis-artis seperti Namewee dan Afdlin Shauki.