ARTIKEL SEBELUM

13/09/11

Tanya Umno dahulu , hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya.

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Sesiapa yang nak mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan mana-mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya.




Itu adalah sindiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang menyebut “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

“Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka,” Najib dipetik sebagai berkata.

Ironinya, kenyataan Najib datang pada masa terbongkarnya fakta bahawa Umno baru-baru ini telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011 dan pada masa yang sama, melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu atas dakwaan menyokong komunis.

Jika mengikut logik Najib, sindir Tuan Ibrahim, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

“Sekiranya rakyat mengikut logik PM yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,” kata beliau secara sinis, sambil menambah mungkin itulah sebab utama mengapa Najib sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim juga berkata tindakan Umno dalam permainan politik komunis telah melondehkan hipokrisi parti Melayu tersebut untuk dilihat rakyat jelata.

“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bilamana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.

Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri? Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat,” soal beliau.

6 tahanan PSM - ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25 telah ditahan selama 28 hari di bawah Akta Ordinan Darurat atas alasan kononnya cuba menghidupkan semula fahaman komunis. sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai 9.

Kesemua mereka dibebaskan pada 30 Julai yang lalu.

Segala tindak-tanduk ini, kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggambarkan seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain “asalkan bukan Umno”, maka komunis itu komunis jahat.

Dalam isu kenyataan status negara sama ada pernah dijajah ataupun tidak, Tuan Ibrahim secara sinis berkata persoalan ini rasanya hanya boleh dijawab secara tepat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemelut samada negara pernah dijajah ataupun tidak, ditimbulkan oleh sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling kelmarin yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Setelah menerima sindiran dan kritikan pelbagai pihak, Zainal akhirnya mendapat satu sokongan yang amat kuat daripada Mahathir hari ini, yang mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” bidas Tuan Ibrahim secara sinis.

Jika mengikut logik MPN, kata beliau, maka ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram.

Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” sindir beliau lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud