ARTIKEL SEBELUM

24/09/11

Penoreh seludup wang RM253,000


MOHD. PUDZI (tengah) menunjukkan wang tunai RM253,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini oleh seorang penoreh getah di Padang Besar, Perlis semalam.


PADANG BESAR - Kastam Perlis merampas wang tunai berjumlah RM253,000 dan menahan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai cuba menyeludup masuk wang tersebut di Kompleks Imigresen di sini kelmarin.

Pengarah Kastam Perlis, Mohd. Pudzi Man berkata, wang itu disita hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang tiba dari Thailand pada pukul 12.45 tengah hari.

"Wang kertas itu yang ditemui dalam empat bungkusan disorok di bawah tempat duduk penumpang belakang kenderaan pikap terbabit," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, pemandu berusia 24 tahun itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan wang berkenaan selain tidak mengikrarkannya dalam borang Kastam K22.

Lelaki itu yang mengaku bekerja sebagai penoreh getah mendakwa wang tersebut untuk membayar hutangnya di negara ini, kata Mohd. Pudzi.

"Kami sedang menyemak rekod kemasukan individu berkenaan ke negara ini.

Kami juga telah mengambil kenyataan daripada tiga rakyat tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan kes itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) dan Sekyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan import, katanya.- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud