ARTIKEL SEBELUM

7/09/11

Pendaftaran 2.3 juta PATI untuk tambah keahlian Umno?

(Oleh: Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyatakan kebimbangannya kemungkinan Umno cuba menambahkan keahlian melalui pendaftaran lebih 2.3 juta pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi program pemutihan 6P.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa 2,320,034 PATI telah mendaftar dalam program tersebut yang berakhir semalam.

Pendaftaran itu dilakukan melalui sistem biometrik sejak 31 Ogos lepas meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah dan seramai 1,303,126 PATI.

“Nampak keadannya seperti kritikal, BN Umno kelihatan seperti cuba untuk menambah bilangan pengundi (yang menyokong mereka),” kata Zuraida yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN.

Zuraida sebelum ini membuat pendedahan tentang kewujudan ‘sumpah taat setia’ kepada Umno dan Barisan Nasional yang perlu diangkat oleh pendatang asing dan PATI jika mereka mahu nama mereka diputihkan daripada senarai PATI.

Sumpah itu perlu dibuat mereka yang mendaftar untuk program 6P di agensi-agensi pekerjaan di Selangor.

Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata jika pendaftaran lebih 2.3 juta orang PATI itu dibuat untuk menambah keahlian Umno, ia sebenarnya merupakan bukti jelas parti itu tidak mendapat sambutan walau dari ahlinya sendiri.

“Walau pun ahlinya adalah seramai 2.7 juta orang, Umno tidak mungkin kalah di empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat jika semua ahlinya benar-benar mengundi Umno sewaktu pilihan raya umum ke-12 dahulu.

“Ini bermakna, ada di antara ahli-ahli Umno sendiri yang tidak yakin dengan Umno dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu,” kata Zuraida.

Justeru, kata Zuraida, perkara paling mustahak buat Pakatan Rakyat untuk terus disokong rakyat adalah terus merangka dan melaksanakan polisi-polisi yang memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Melalui cara itu, mana-mana warganegara yang baru sahaja mendapat kewarganegaraannya akan lebih cenderung untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat bagi membela nasib mereka.

“Kita berharap Pakatan Rakyat diberikan undi oleh mana-mana warganegara baru,” kata Zuraida.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud