ARTIKEL SEBELUM

11/09/11

Mat Sabu: Umno mewarisi sikap penjajah

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Bercakap pada ceramah Negara Berkebajikan: Tawaran PAS malam tadi, Mohamad berkata, beliau sedih apabila dituduh mengagung-agungkan komunis.

“Saya dulu pernah ditahan ISA atas tuduhan pelampau agama, walaupun sudah lebih 30 tahun saya melalui jalan yang mendokong perjuangan Islam, bersama-sama mendokong kepimpinan ulama yang bermula pada 1983, berada di sini sehingga sekarang sebagai timbalan presiden, terus mendokong dasar Islam, tiba-tiba sekarang dituduh komunis... tak sedihkah? Jahat sungguh,” kata beliau.

“Tuduhan ini bukan perkara baru, pemimpin kita yang berjuang lebih awal dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk pengganas sehingga orang seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilabel sebagai penjahat ditangkap dan diletakkan di Pulau Jerejak, begitu ulama yang lain yang menerima tuduhan seperti itu oleh penjajah.

“Dan, serangan penjajah Umno mewarisinya. Apa punca jadi begini? Saya amat cintakan tanah air, kita berada di Malaysia tanah tumpah darah,” katanya.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” menegaskan, apa yang dibangkitkan dalam ceramahnya di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu adalah rasa terkilan melihat ramai rakyat tidak menyambut seruan meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan.

“Saya melihat makin tahun orang tak sambut hari Merdeka, saya dah bercakap hal ini 10 tahun kebelakangan ini, menjelang Hari Merdeka kawan-kawan dah boleh hafal apa yang saya mahu katakan. Cuma tahun ini cukup ketara, pemerintah melalui televisyen, radio dan akhbar menyuruh rakyat meletakkan bendera untuk tanam sifat patriotik sambut Merdeka, saya lihat tiada orang pun yang buat.

“Kenapa rakyat tidak sambut? Ini bukan pasal ucapan saya di Pulau Pinang, saya sebut perayaan Merdeka sudah jadi perayaan Umno, bukan perayaan rakyat Malaysia,” katanya.

PAS. terutamanya timbalan presiden Mohamad telah diserang pemimpin-pemimpin Umno kerana didakwa mengagung-agungkan komunis.

Dalam ceramahnya Mohamad berkata bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis pada 1950.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

Menurut Mohamad, sambutan Hari Kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna sekiranya tokoh-tokoh kemerdekaan lain diletakkan sebaris dengan pemimpin Umno.

“Saya kata kalaulah meletakkan Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn Jaafar, silakan... letakkan bersama tokoh-tokoh lain seperti Burhanuddin al-Helmy, di samping Pak Sako, Ahmad Bustamam, Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain, kalau ini RTM ceritakan semua tokoh-tokoh kemerdekaan.

“Semua akan rasa terpanggil, Umno, PAS dan pemimpin berhaluan kiri untuk merayakan Hari Merdeka. Ini tidak, bila Merdeka yang dipamerkan tokoh Umno maka Umnolah yang sambut,” katanya menambah sejarah kemerdekaan negara perlu ditulis semula.

Bagaimanapun beliau percaya Umno tidak akan melakukan perkara yang boleh membongkar kembali sejarah kemerdekaan negara.

“Sejarah kemerdekaan ini perlu diperbetulkan semula, ingat Umno nak perbetulkankah sejarah tanah air kita? Melainkan kita mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Nanti kalau Umno tulis semula sejarah, macam-macam akan terbongkar,” katanya.

Tambah Mohamad, beliau masih berniat mahu berdebat dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan negara.

“Perkara ini jadi heboh sampailah timbalan presiden Umno minta saya bertaubat, kemudian datanglah Khairy Jamaluddin ajak saya berdebat, saya tengok balik Khairy nak cabar saya, bagi saya Khairy ini budak baik... dia berpontensi untuk jadi pemimpin PAS masa depan, kenapa saya nak berdebat dengan Khairy? Yang maki saya timbalan presiden Umno, biarlah dia berdebat dengan saya,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud