ARTIKEL SEBELUM

30/09/11

Ketepi sepina, Najib dan Rosmah halang kebenaran- Anwar

(Oleh: Ahmad Fadli)



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak dan isterinya bertindak menghalang kebenaran apabila mengemukakan permohonan mengenepikan sapina dan enggan hadir ke mahkamah memberi keterangan dalam kes Fitnah II.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mahkamah ditetapkan bersambung Isnin depan bagi mendengar permohonan Najib untuk mengenepikan sepina terhadap beliau.

“Anda (Najib dan Rosmah) menafikan orang ramai daripada mengetahui fakta dan kebenaran,” kata Anwar yang kesal dengan tindakan tersebut.

Menyifatkan tindakan Najib itu sebagai di luar jangkaan, Anwar berkata Najib sekali lagi memungkiri kata-katanya apabila sebelum ini membuat kenyataan yang beliau dan isteri akan hadir ke mahkamah walaupun tidak memberikan kerjasama sewaktu ditemubual peguam bela Anwar.

“Ini di luar jangkaan. Sekarang kita dah sepina, beliau mahu ketepikan.

“(Sebelum ini) dia kata tak bersedia beri kerjasama tetapi akan hadir kalau disepina,” kata Anwar.

Beliau seterusnya berkata, Najib dan Rosmah bersikap aneh apabila mengelak dari terlibat dalam perbicaraan sedangkan sudah jelas mereka sememangnya terlibat sewaktu siasatan kes Fitnah II berlangsung.

“Aneh. Kenapa pendakwa raya sebelum ini ada menemubual Najib dan Rosmah di bawah Seksyen 112 (Kanun Keseksaan)?

“Kerana ada kes,” kata Anwar.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Najib dan Rosmah pagi ini tetapi salah seorang peguam mereka, Ghazi Ishak memohon ia ditangguhkan ke Isnin kerana pasukan peguam Najib dan Rosmah mahu meneliti afidavit balasan peguam Anwar yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Permohonan pengenepian sapina Najib akan didengar Isnin 3 Oktober ini jam 2.15 petang.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud