ARTIKEL SEBELUM

26/09/11

Di Cincang Kerana Hutang



[HM] PENAMPANG: Hanya kerana diminta menjelaskan hutang RM300, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila sanggup menetak seorang mandur sehingga lehernya hampir putus dan isi perutnya terburai dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Jalan Tulangis, di sini, kelmarin.

Bukan itu saja, hampir seluruh tubuh mangsa, Omar Daud, 26, turut dicincang dengan lebih 10 kesan tetakan menggunakan parang yang turut menyebabkan beberapa jari tangan hilang dalam kejadian kira-kira jam 7 malam. Isterinya, Fadilah Jali, 23, yang terdengar jeritan suaminya di luar rumah segera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berlumuran darah serta tertiarap tidak sedarkan diri.

Fadilah berkata, dia juga sempat melihat dua lelaki dipercayai adik-beradik lingkungan 20-an memegang parang dipenuhi darah berada di sisi suaminya.

Fadilah kemudian menjerit memanggil adik saudaranya, Hazri Sabri, 18, bagi membantu suami, tetapi tidak berjaya apabila seorang daripada lelaki berparang terbabit mengejar menyebabkan mereka memasuki dan mengunci diri dari dalam rumah sebelum dua lelaki terbabit melarikan diri. Menurut Fadilah, sebelum kejadian dia bersama empat anaknya berada di dalam rumah sebelum meluru ke luar selepas mendengar jeritan suaminya.

“Saya melihat dua lelaki sedang memegang parang berdiri di sebelah tubuh suami yang berlumuran darah sebelum cuba meminta bantuan adik saudara yang kemudian bergegas cuba memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, seorang suspek mengejar adik saudara saya dengan parang, menyebabkan dia melarikan diri dan masuk ke dalam rumah, manakala saya turut mengunci dari dalam bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ditemui di tempat Harian Metro di tempat kejadian, semalam.

Fadilah berkata, dia mengetahui seorang daripada suspek meminjam RM300 daripada suami selepas kalah berjudi, tetapi terus kalah dalam kegiatan itu menyebabkan suaminya cuba meminta suspek membayar semula wang dipinjam. Menurutnya, tindakan suaminya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga menyebabkan suaminya ditetak hingga maut.

“Malah, rakan suami yang turut dalam pergaduhan itu turut ditetak, namun dia berjaya lari menyelamatkan diri,” katanya.

Fadilah berkata, sebaik menyedari lelaki terbabit melarikan diri, dia memaklumkan kejadian itu kepada keluarga sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi memberitahu siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek berang kerana mangsa memintanya memulangkan wang RM300 yang dipinjam.

“Suspek menetak mangsa dan seorang rakan mangsa cuba membantu selepas melihat kejadian itu turut ditetak sebelum terpaksa melarikan diri, manakala kedua-dua suspek yang turut cedera meninggalkan tempat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah menggerakkan operasi termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memburu kedua-dua suspek yang dipercayai turut cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, kerana membunuh,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud