ARTIKEL SEBELUM

15/08/11

Isu azan dedah sikap hipokrit Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Tindakan Umno cuba mempolitikkan semua isu yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.

“Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Fatwa larangan pembesar suara di Pulau Pinang yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk mufti Perlis, Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kerana ia bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur cuba dipolitikkan Umno sebagai satu keputusan negeri Pulau Pinang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin dipetik sebagai cuba menyalahkan kerajaan negeri Pulau Pinang atas tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tersebut dengan menyatakan “perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.”

“Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang, kata Tuan Ibrahim merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membua kajian dan keputusan yang teliti.

Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau,” bidas Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS bahagian Dakwah.

Membandingkan dengan sikap pemimpin Umno dan Perkasa yang berdiam seribu bahasa Kerajaan Negeri Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi di bulan Ramadhan, Tuan Ibrahim menyifatkan semua aksi ini adalah “gelagat pimpinan Umno Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.”

“Sikap sedemikian mencerminkan Umno sebagai sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan Umno dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan,” tambah beliau.

Dalam isu murtad yang kini hangat diperdebatkan di media ekoran kontroversi melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Tuan Ibrahim mengecam sikap Umno yang tetiba cuba menjadi hero dalam isu ini, walhal mereka jugalah yang menyokong usul-usul pencegahan murtad umat Islam di Parlimen yang dibawa oleh para pemimpin PAS.

“Tapi kini dalam kemelut gereja-Jais, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus berriuh-rendah di media kononnya nak menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad. Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap-sepi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli Umno sendiri dan sebagainya.

Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan Umno,” selar Tuan Ibrahim.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud