(Oleh : Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini menetapkan mahkamah bersambung semula Isnin depan kerana peguam bela Anwar belum dapat menemubual baki lima lagi saksi daripada senarai 25 orang yang ditawarkan pendakwa raya.
Beliau juga mengarahkan pendakwa raya menyediakan baki enam saksi yang belum dapat ditemubual peguambela Ketua Umum KEADILAN sebelum mahkamah bersambung minggu depan.
“Pendakwa raya perlu buat apa-apa sahaja untuk memastikan perbicaraan akan bermula Isnin nanti.
“Apa-apa sahaja hasil (daripada temubual) itu, Isnin awak (peguam bela) perlu mula,” kata Hakim Zabidin.
Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu lima orang yang masih belum ditemubual itu adalah seorang bekas jururawat Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), dua bekas pembantu rumah yang bekerja di kondominium Desa Damansara, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan seorang bekas pembantu Anwar.
Seorang lagi saksi, ibu kepada bekas tunang Saiful, Sharehah Mat Salim telah ditemubual oleh peguam Anwar pagi tadi.
Menurut Sankara lagi, peguam bela Anwar bersedia untuk memulakan pembelaan Isnin depan.
“Kami bersedia untuk hari Isnin, dengan syarat pendakwa raya memberikan baki saksi yang dijanjikan,” kata Sankara.
Seorang lagi peguam Anwar, Ram Karpal Singh pula menegaskan pendakwa raya bertanggungjawab menyediakan semua saksi yang diminta sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.
“Ia adalah tanggungjawab pendakwa raya untuk membawa semua saksi,” kata Ram Karpal.
Anwar dijangka memberikan keterangan sebagai saksi pertama pembelaan Isnin depan.
Perbicaraan ini yang memasuki peringkat pembelaan sepatutnya sudah bermula Isnin lalu namun. Ia ditangguhkan atas permintaan pendakwa raya yang gagal menyediakan 25 saksi yang ditawarkan kepada peguam bela.
Kegagalan menyediakan saksi itu menyebabkan peguam Anwar terpaksa memohon perintah mahkamah untuk memanggil saksi-saksi berkenaan.
Di antaranya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur yang hadir secara bersembunyi ke mahkamah Jumaat lalu untuk ditemubual.
Kedua-dua mereka hadir tetapi enggan ditemubual dan memberitahu mereka juga enggan menjadi saksi perbicaraan kes Fitnah II.
Kedua-dua mereka adalah watak penting kes ini kerana Najib mengaku pernah menemui Saiful yang mengadu kononnya diliwat kepada beliau dan juga untuk mendapatkan biasiswa.
Pembantu Rosmah pula, Mumtaz Jaafar adalah ibu angkat kepada Saiful.