ARTIKEL SEBELUM

18/08/11

Daftar pemilih: Lain ditanya, lain SPR jawab

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat kecewa dengan jawapan balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pendedahan mereka bahawa wujudnya penyelewengan dalam daftar pemilih.

Exconya, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, jawapan balas Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria bahawa ramai individu yang mempunyai ejaan nama yang sama adalah perkara biasa ibarat "lain biduk lain digalang".

Menurutnya yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu, apa yang dipertikai oleh pemuda PAS bukanlah soal ramai yang mempunyai ejaan nama sama, namun yang dipertikai adalah corak perbezaan nombor kad pengenalan mereka yang meragukan.

"Kita tak pertikai soal nama sama, kita tahu nama bukan unik. Kalau ikutkan nama (seperti Timbalan Pengerusi SPR) Wan Ahmad Wan Omar pun ada dua, tapi kita tidak pertikai pun.

"Yang kita pertikai, corak perbezaan no IC mereka yang mempunyai nama sama itu," kata Suhaizan ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Kamaruddin semalam yang berkata, nama Azhar bin Ahmad seperti yang didedah pemuda PAS sebelum ini mempunyai 825 nama dengan ejaan serupa.

Beliau juga menafikan dakwaan terdapat penyelewengan kerana mereka semua memiliki nombor kad pengenalan berbeza meskipun ejaan nama sama.

Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS sebelum ini mendedahkan individu bernama Azhar bin Ahmad memiliki ejaan nama sama, namun perbezaan hanya di dua digit terakhir pada nombor kad pengenalan mereka meragukan dan didaftarkan di dua tempat berbeza dalam Daftar Pemilih SPR.

Perbezaan nombor kad pengenalan Azhar bin Ahmad dan maklumat tempat mengundinya adalah seperti berikut:

Azhar bin Ahmad

MyKad pertama: 680713095049

Lokaliti: Batu 13

Daerah mengundi: Tasoh

DUN: Beseri

Parlimen: Padang Besar

MyKad kedua: 680713095057

Lokaliti: Kg Baru Chuping

Daerah mengundi: Sg Buloh

DUN: Chuping

Parlimen: Padang Besar

Mengulas lanjut berhubung perbezaan yang lain, Suhaizan berkata pihaknya mengesan sekurang-kurangnya enam trend perbezaan corak no kad pengenalan.

Ianya seperti berbeza pada tahun lahir iaitu dua digit paling awal, bulan lahir, tarikh lahir, kod negeri dan pada dua digit paling akhir.

"SPR jangan cepat melatah, kita bukan nak malukan SPR. Kita bangkit soal ini sejak 2007 lagi namun tiada sebarang tindakan proaktif yang dibuat SPR.

"Jadi kita tidak ada pilihan, kita dedah kepada rakyat supaya rakyat pula dapat menilai," katanya lagi sebagai menjawab gesaan SPR agar perkara itu dirujuk kepada mereka dan bukan didedah kepada umum.

Dari sudut lain katanya, persoalan itu sebenarnya bukan sahaja harus dijawab oleh SPR, tetapi juga oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara JPN kerana data dalam daftar pemilih SPR tersebut adalah dari data JPN sendiri.

Bagaimanapun SPR sepatutnya boleh bertindak proaktif jika benar mahu membersihkan daftar pemilih dan bukannya hanya menerima data dari JPN bulat-bulat dan tidak mengendahkan pula pendedahan penyelewengan yang dibuat oleh rakyat.

"Sebab itu saya cadang SPR proaktif. Senaraihitamkan nama yang meragukan itu dan semak semula dengan JPN kenapa berlaku seperti itu," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud