ARTIKEL SEBELUM

18/08/11

Bukti blog pro-Umno: Rakyat tunggu tindakan Jais

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melengah-lengah isu menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) atas laporan murtad sehingga menimbulkan polemik umum tentulah tidak mendatangkan kebaikan kepada semua, apabila di waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.

“Kini, rakyat tengah menanti tindakan Jais, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

“Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan.

Dalam isu Jais, Tuan Ibrahim hari ini juga menimbulkan persoalan terhadap beberapa reaksi dan tindakan Umno sejurus selepas cetusan isu Jais menyiasat gereja – yang beliau sifatkan sebagai amat mencurigakan.

Tuan Ibrahim berkata perkara paling aneh ialah semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar dan dipelopori oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh Jais, sedangkan semua bukti itu adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya dikeluarkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.

Ini termasuklah soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan Jais yang sepatutnya diberikan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu.

“Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini.

“Dengan ledakan sedemikian di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini. Kenapa perkara ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?” soal Tuan Ibrahim.

Selain itu, kata beliau ialah kecepatan media pro-Umno yang terus melonjak isu ini dengan membuat serangan kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri dan juga demonstrasi yang dilakukan Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor dibuat di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk penyapu tandas, mangkuk tandas dihantar ke pejabat Menteri Besar.

“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal beliau.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud