ARTIKEL SEBELUM

2/08/11

Anwar Tetap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

SHAH ALAM 2 OGOS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan ada pihak dalam Pakatan Rakyat berhasrat untuk menggantikan beliau dengan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang ditemui media berkata sehingga kini tiada mana-mana pihak baik dari DAP, PAS dan PKR tampil menyatakan hasrat itu namun ianya hanya datang daripada seorang ahli parlimen bebas Bayan Baru, Datuk Zahrin Hashim.

"Saya tidak dengar daripada mana-mana kepimpinan DAP, PAS dan Keadilan.. yang saya dengar dari Bayan Baru (Zahrin)," kata beliau.

Perkara tersebut sekaligus menolak dakwaan yang disiarkan media sebelum ini bahawa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan 'Ku Li' dipelawa untuk mengambil alih jawatan yang disandang oleh Anwar.

Zahrin pada minggu lalu mendakwa kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mempelawa Tengku Razaleigh untuk menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang sedang berhadapan dengan kontroversi video seks dan dipercayai akan dipenjarakan berikutan kes fitnah liwat dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam satu sidang media, Zahrin antara lain menyatakan tindakan mempelawa Ku Li itu sebagai persiapan parti Pakatan Rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Sehari selepas itu Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan tersebut selain menyifatkan Ku Li tidak boleh berbuat demikian memandangkan beliau selaku ahli parlimen Gua Musang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, portal Malaysiakini yang menemubual Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melaporkan, Wan Azizah juga menolak dakwaan tersebut dan berkata Ku Li tidak benar-benar di pihak pembangkang.

"Tengku Razaleigh tidak pernah menjadi ketua pembangkang, dia dalam (parti Melayu Semangat) 46. Semangat 46 pecahan daripada Umno. Dia tak pernah di luar dan kemudiannya kembali (pada Umno).

"Sesetengah daripada anggota Semangat 46 kata tidak pernah ditanya (tentang kembali kepada Umno), dia hanya kembali tiba-tiba," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud