Wanita PKR hari ini mengecam perdana menteri kerana didakwa membiarkan menteri dalam negeri mengenakan tindakan ke atas perhimpunan BERSIH.
Ketua pergerakan itu, Zuraida Kamaruddin berkata, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya membiarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein terus mengarahkan polis menahan individu yang didakwa terbabit dengan perhimpunan berkenaan.
"Ini adalah suatu tindakan yang amat biadap kerana jelas telah melanggar titah baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Ini kerana, secara jelas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan (Zainal Abidin) telah memberi perkenan untuk diadakan perhimpunan aman ini.
"Maka Hishammuddin seharusnya taat dan patuh," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Membaca satu kenyataan, Zuraida mendakwa, Najib sebaliknya "memberi perlindungan tertinggi" kepada menterinya itu untuk mengambil tindakan sewenang-wenang.
"Walaupun Agong dah jumpa pemimpin BERSIH, mereka tetap ambil tindakan ke atas BERSIH," ," katanya.
"Ini tindakan menghina Agong," tambahnya yang turut menuntut suapa Hishammuddin segera membebaskan seramai hampir 200 orang yang ditahan berhubung BERSIH dalam serbuan polis yang dijalankan sejak 25 Jun lalu.- mkini