28/07/11

Hot !! ...“Video polis di TV bukan arwah Baharudin”


KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad hari ini tampil menafikan lelaki dalam rakaman CCTV yang ditayangkan polis di saluran televisyen perdana adalah beliau.

Menurut anak saudaranya, Azhar Kassim, pihak keluarga menolak sekeras-kerasnya lelaki dalam video tersebut adalah arwah Baharudin dan mereka juga kesal dengan tindakan polis menayangkan video itu.

“Video itu bukan arwah, kami menafikan sekeras-kerasnya itu adalah beliau.

“Setakat ini pihak peguam keluarga memperincikan beberapa alasan kami menolak bahawa itu adalah Baharudin,” kata Azhar ketika dihubungi KeadilanDaily.com.

Menurut Azhar, mereka ada alasan yang kukuh mengapa lelaki dalam video itu bukan arwah Baharudin.

“Kami ada alasan yang kukuh dan kuat kerana video yang ditunjukkan tidak selari dengan gambar arwah semasa dibawa keluar daripada Avenue K oleh pegawai perubatan.

“Mulanya gambar yang ditunjuk, pakai seluar jeans, tapi masa dibawa keluar pakai seluar hitam. Tapi keluarga menegaskan bahawa semasa keluar dari rumah untuk ke perhimpunan Bersih, arwah pakai baju putih berseluar hitam,” kata beliau.

Selain itu, bentuk fizikal arwah Baharudin yang amat dikenali ahli keluarganya menguatkan lagi keyakinan mereka lelaki dalam video itu bukan beliau.

“Kalau tengok video itu, rupa yang kononnya Baharudin adalah cengkung, tapi muka sebenar arwah bentuk bulat.

“Manakala cara jalan arwah tidak sama, kami percayai arwah sebelum ini jatuh berdekatan KLCC, takkan boleh berlari masuk,” ujarnya.

Azhar seterusnya menyifatkan tayangan video itu sebagai mengganggu siasatan yang masih lagi berjalan ke atas kematian Baharudin.

“Sepatutnya polis berbincang dengan keluarga dan peguam sebelum keluarkan video itu, ini sedang mengganggu siasatan. Tindakan polis hanya mahu melepaskan batuk di tangga, nak senang semuanya,” katanya.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid Jumaat lalu mendakwa kononnya tulang rusuk Baharudin patah mungkin disebabkan rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Beliau turut mendakwa kononnya gigi lelaki berusia 58 tahun itu mungkin patah disebabkan tiub bantuan pernafasan yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

Salleh juga mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.- kdaily