ARTIKEL SEBELUM

1/07/11

“Saya tidak menyokong mana-mana parti politik " - Wardina



[SH] AMPANG – Pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah, 32, atau Wardina menjelaskan beliau tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat di Desa Mentari, Petaling Jaya, 26 Jun lalu anjuran sebuah parti politik.

Wardina berkata, kehadirannya pada majlis terbabit atas jemputan memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.


“Saya tidak menyokong mana-mana parti politik. Saya sepatutnya hadir pada sebelah siang tetapi disebabkan sibuk dengan aktiviti lain, saya dijemput menghadiri pada sebelah malamnya.


“Dalam jemputan itu, saya diminta memberi ceramah mengenai institusi kekeluargaan tanpa dimaklumkan majlis berkenaan adalah anjuran pertubuhan politik termasuk kehadiran wakil rakyat pembangkang,” katanya di Kelab Darul Ehsan di sini, semalam.


Wardina berkata demikian bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).


Hadir sama, peguamnya Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim.


Wardina berkata, sewaktu dia tiba di majlis itu kelihatan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan dia telah diminta duduk sebelah wakil rakyat terbabit.


“Pada majlis itu, saya hanya sempat memberi ceramah kira-kira sepuluh minit dan sebelum acara tamat, saya terus meninggalkan majlis selepas mendapat sedikit bayaran daripada pihak penganjur,” ujarnya.


Menurutnya, lebih memalukan gambar silamnya yang tidak bertu-dung disiarkan di beberapa blog


Saya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya artikel dan gambar lama ketika tidak berhijab tidak dikeluarkan segera daripada blog berkenaan.


“Saya sudah lama berubah, berilah ruang kepada artis seperti kami yang sudah dan ingin berubah ke arah kebaikan melakukan perkara baik,” katanya.


Wardina berkata, tekanan yang berlaku disebabkan insiden berkenaan membuatkan dia terpaksa mengambil keputusan berehat daripada menjadi pengacara Malaysia Hari Ini di TV3 selama dua bulan.


“Tidak dinafikan perkara itu memberi sedikit tekanan, itu adalah keputusan sendiri, bukan hukuman daripada TV3,” katanya.


Sementara itu, peguamnya Iylia Iqbal Ibrahim meminta pemilik blog berkenaan mengeluarkan segera artikel dan gambar Wardina sekiranya tidak mahu tindakan.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud