30/07/11

Piket bantah Putrajaya sambung kontrak Presiden KTMB

July 29, 2011
Kakitangan KTMB berpiket di hadapan ibu pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur membantah Putrajaya menyambung kontrak presidennya. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kira-kira 300 anggota Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) hari ini mengadakan piket secara aman membantah penyambungan kontrak Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan selama dua tahun mulai Isnin ini.

Mereka mula berkumpul kira-kira pukul 6 petang di pekarangan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin di sini sebelum bersurai setengah jam kemudian.

Bernama Online memetik Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata piket itu diadakan untuk membantah penyambungan kontrak Aminuddin, yang didakwa bersikap negatif terhadap kesatuan sekaligus menimbulkan rasa kurang senang kepada anggota mereka.

“Saya bagi pihak Majlis Eksekutif kesatuan berasa terkilan atas penyambungan itu kerana ia akan menyebabkan pertikaian berterusan di antara kesatuan dan Presiden.

“Semenjak Dr Aminuddin menyertai KTMB, beliau mempunyai persepsi negatif terhadap kesatuan seterusnya menganggap kesatuan adalah musuh,” katanya.

Menurutnya seorang presiden perlu menjalinkan hubungan baik dengan kesatuan dan bukannya menjauhkan diri atau menjadikan kesatuan pekerja sebagai musuh.