arakahdaily |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Julai: Besar kemungkinan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di stadium ekoran pengumuman Pengerusi Bersih dan juga kata sepakat yang dicapai Pakatan Rakyat yang menyebut mereka terbuka untuk perhimpunan di stadium.
Keputusan Bersih dibayangkan pengerusinya Datuk S Ambiga pada sidang media lepas mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi manakala keputusan Pakatan pula diumumkan tiga pimpinan tertinggi mereka.
(Ambiga ketika dikerumuni wartawan di perkarangan Istana Negara - gambar Malaysiakini)
Ambiga bersama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin tengahari tadi.
Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan.
Menurut Ambiga, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Sebelum itu, Pakatan membayangkan akan bersetuju untuk berhimpun di stadium melalui tiga pemimpin kanan mereka.
Pakatan Rakyat juga menyeru kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan terhadap mereka digugurkan di samping terbuka dengan tawaran Perdana Menteri agar berhimpun di stadium.
Pakatan Rakyat mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam yang menyatakan kesediaan pihak kerajaan memberikan kerjasama untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 2.0 di stadium.
“Setelah melalui beberapa proses perbincangan, kami ingin merakamkan pendirian bahawa ketiga-tiga parti mengambil sikap terbuka dengan tawaran Perdana Menteri itu selagi ia menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim dalam kenyataan bersama, petang ini.
Menurut mereka, Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa tuntutan reformasi dalam sistem pilihan raya negara agar bersih, telus dan adil kekal sebagai matlamat perhimpunan tersebut.
Mereka berkata, proses reformasi itu perlu dilaksanakan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13 bersesuaian dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 dan memerlukan komitmen Perdana Menteri; selain dari komitmen sedia ada beliau untuk menawarkan stadium bagi perhimpunan aman Bersih 2.0.
“Kesediaan ini juga perlulah disambut oleh pihak berkuasa dengan menghentikan pendekatan keras yang diambil setakat ini,” kata mereka.
Mereka menambah, ketiga-tiga parti bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang lain bagi memastikan perjalanan perhimpunan itu nanti boleh berjalan dengan baik dan aman.
“Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat menyeru supaya kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka digugurkan,” ujar mereka lagi.