KUCHING: Seorang ibu yang mengandung anak kembar terbunuh selepas ambulans yang membawanya untuk melahirkan anak di hospital terbabas dan merempuh pokok di Batu 9, Jalan Penrissen, di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian pada jam 1 pagi, ambulans dipandu Sapuan Ain, 37, dikatakan dalam perjalanan kira-kira lima jam membawa mangsa, Mura Rungor, 33, yang sarat mengandung 40 minggu dari Hospital Sri Aman ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Difahamkan, sebaik tiba di tempat kejadian, ambulans dipandu Sapuan yang turut dinaiki jururawat Sunny Ngadei, 40, dan pembantu perubatan hilang kawalan ketika mengelak seekor anjing melintas jalan.
Kenderaan itu kemudian terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan menyebabkan ia remuk di bahagian depan.
Kemalangan itu menyebabkan Mura dan kandungannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan, manakala Sapuan patah tulang rusuk kiri.
Sunny yang mengiringi mangsa ke HUS turut parah di beberapa bahagian badan termasuk patah kaki kanan dan pembantu perubatan lingkungan 40-an bernasib baik kerana hanya cedera ringan. Kemalangan itu menyebabkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan.
Ambulans membawa Mura dikatakan bertolak pada jam 9 malam, kelmarin dari Hospital Sri Aman untuk menghantar mangsa dari Kemantin, Sri Aman ke HUS sebelum tiba di bandar raya ini, lima jam kemudian.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.54 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Kami mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan mangsa termasuk pemandu dan jururawat yang menaiki ambulans itu sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, keluarga mangsa sudah dihubungi untuk memaklumkan kejadian itu dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.- hm