ARTIKEL SEBELUM

20/07/11

Malaysia Gagal Ambil Iktibar Gesaan Dunia

SHAH ALAM 19 JULAI : Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mengambil iktibar dari teguran dan kritikan keras masyarakat antarabangsa dalam mendepani kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan baik dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Pengarah Biro Antarabangsa Keadilan, Yusmadi Yusoff berkata, Malaysia sepatutnya menghormati pandangan masyarakat antarabangsa dan cuba mempraktikkannya di negara ini jika mahu menjadi sebuah negara maju yang menghormati nilai demokrasi.

“Kita telah menerima teguran termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amnesty International. Kita harap ini bukanlah imej yang mahu digambarkan kepada dunia tentang Malaysia,” kata Yusmadi kepada Keadilan Daily.

Terbaru dalam cubaan melindungi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan menghitamkan beberapa fakta dalam laporan majalah antarabangsa The Economist.

Tindakan itu dilihat bertujuan untuk menyaring matlumat yang mendedahkan tentang salahguna kuasa oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memperalatkan polis pada Himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Perbuatan itu nyata sekali bercanggah dengan kenyataan polis bahawa pihaknya telah menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan kezaliman yang dilakukan oleh polis pada himpunan berkenaan.

Terdahulu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan kekerasan termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 9 Julai lalu memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata, Malaysia yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian.

Sementara itu, Amnesty International sebelum itu mendesak Britain mengenakan tekanan ke atas Perdana Menteri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 ketika lawatan sulung beliau ke negara itu selepas bergelar Perdana Menteri.

Difahamkan Najib yang diiringi isteri beliau, Rosmah Mansor tidak menerima hamparan 'permaidani merah' seperti kelaziman sebagai tanda protes kepada tindakan Najib itu.

Malah kehadiran Najib disambut dengan beberapa siri demonstrasi aman rakyat Malaysia yang memakai pakaian kuning membantah tindakan zalim polis ke atas rakyat Malaysia.

Perdana Menteri itu juga menerima sindiran hebat apabila Ratu Elizabeth mengenakan gaun berwarna kuning manakala Menteri Pengangkutan Britain, memakai tali leher berwarna kuning pada dua pertemuan berasingan dengan Najib.

Keadaan itu juga memperlihatkan bagaimana layanan baik negara luar terhadap peserta perhimpunan aman di lebih 30 bandaraya seluruh dunia.

Antaranya London, Washington, Los Angeles, New York, Seoul, Melbourne, Taiwan, Bangkok, Kaherah dan Paris, kata Yusmadi.

Ia sekaligus mencerminkan tahap demokrasi matang yang diamalkan di negara-negara tersebut.

“Dalam masa sama wakil kerajaan Malaysia menunjukkan ‘perhubungan awam’ yang baik kepada rakyat sendiri di mata kerajaan dan media asing,” kata Yusmadi merujuk ‘sikap baik’ Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menyantuni peserta himpunan Bersih di kota London.

“Begitu juga sikap yang sama dtunjukkan diplomat di Kedutaan Malaysia di Washington DC,” kata Yusmadi lagi.

Anehnya, apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya apabila kerajaan menggunakan polis dan undang-undang untuk menyuraikan orang awam yang mahu menuntut keadilan.

“Sedangkan undang-undang sepatutnya membela dan melindungi kita. Berbanding dengan rakyat Malaysia di luar negara, nampaknya hak mereka lebih terjamin,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud